suria

QZ8501: Pasukan SAR Tumpu Cari Mayat, Kotak Hitam - Liow

Liow Tiong Lai.

KUALA LUMPUR: Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Liow Tiong Lai memaklumkan bahawa pasukan mencari dan pemulihan (SAR) memberi tumpuan kepada usaha mengesan pesawat, kotak hitam dan mayat berikutan nahas pesawat AirAsia Indonesia QZ8501.

Bercakap pada sidang media di Wisma MCA pada Rabu, Liow mengesahkan bahawa serpihan dan mayat dari pesawat itu ditemui kira-kira 110 batu nautika barat daya Pangkalan Bun di Kalimantan Tengah.

"Pada masa ini, operasi SAR masih sedang berjalan dan siasatan terhadap serpihan yang ditemui sedang dilakukan," katanya.

Liow yang juga merupakan Presiden MCA memberitahu pemberita bahawa Malaysia menawarkan bantuan kepada Indonesia.

"Pihak berkuasa Indonesia menerima bantuan kita," katanya, sambil menambah bahawa Malaysia menghantar tiga kapal dan tiga pesawat bagi membantu dalam operasi mencari dan menyelamat.

Ditanya sama ada beberapa insiden dan nahas yang berlaku pada 2014 memaksa industri penerbangan mengenakan peraturan trafik udara yang ketat, Liow menjelaskan bahawa Pertubuhan Penerbangan Awam Antarabangsa (ICAO) sedang mengkaji cadangan itu dalam satu perjumpaan di Montreal.

"Kita juga berbincang mengenai bagaimana untuk memperbaiki standard keselamatan bagi syarikat-syarikat penerbangan di dunia," katanya.

Liow memberi contoh seperti kotak hitam yang boleh terapung dan juga boleh terus merakam untuk tempoh keseluruhan penerbangan itu.

Dalam pada itu, beliau mengucapkan takziah kepada keluarga mangsa yang berhadapan dengan nahas yang tragik. 

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain