Najib Garis Lima Keutamaan Malaysia Sebagai Anggota Tidak Tetap UNSC - Semasa | mStar

Najib Garis Lima Keutamaan Malaysia Sebagai Anggota Tidak Tetap UNSC

Najib Tun Razak.
MILAN: Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak menggariskan lima keutamaan peranan yang akan dilakukan Malaysia dalam memikul amanat sebagai anggota tidak tetap Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNSC).

Lima keutamaan itu ialah mengembangkan agenda kesederhanaan pada peringkat global; menggalakan rundingan sebagai kaedah penyelesaian konflik, menggalakan operasi pengaman PBB; membantu proses membangunkan keamanan di negara-negara yang menghadapi konflik dan terus membincangkan reformasi komprehensif UNSC.

Dalam reaksinya terhadap kejayaan Malaysia meraih satu kerusi UNSC sebagai anggota tidak tetap bermula 1 Januari 2015 hingga 31 Disember 2016, Najib sambil melahirkan rasa syukur dengan sokongan menyeluruh masyarakat antarabangsa, menyifatkan kejayaan itu merupakan penerimaan terhadap dasar luar Malaysia yang berpegang pada prinsip utama dasar luar negara.

Malaysia memperoleh 187 undi daripada 193 negara anggota yang menyertai proses pengundian secara sulit di New York, Amerika Syarikat pada Khamis.

"Hendak dapat 100 peratus susahlah tapi itu kira sangat baik, pencapaian cemerlang," katanya kepada wartawan Malaysia yang membuat liputan sempena Sidang Kemuncak Mesyuarat Asia-Eropah (ASEM) di sini. 

Najib turut mengucapkan terima kasih kepada negara-negara yang menyokong pencalonan Malaysia.

Pertama kali ketika Malaysia menduduki kerusi tersebut bagi sesi 1989-1990, Malaysia memperoleh 143 undi daripada 158 negara manakala kali kedua pada penggal 1999-2000, Malaysia mendapat 174 undi daripada 176 negara.

Najib berkata beberapa pemimpin yang menghadiri ASEM termasuk Perdana Menteri Jepun Shinzo Abe dan Perdana Menteri Singapura Lee Hsien Loong antara yang mengucapkan tahniah atas kejayaan itu, dengan Perdana Menteri Itali Matteo Renzi yang pertama berbuat demikian.

Beliau turut mengucapkan terima kasih atas kerja keras Menteri Luar Datuk Seri Anifah Aman, Timbalan Menteri Luar Datuk Hamzah Zainuddin dan pegawai-pegawai Wisma Putra dalam memastikan kejayaan memihak kepada negara.

Najib berkata beliau percaya negara-negara yang menyokong, bersikap positif terhadap peranan dan dasar Malaysia yang bertanggungjawab dan berprinsip selain pendekatan kesederhanaan atau wasatiyah.

Katanya, Malaysia akan memainkan peranannya sebagai anggota tidak tetap UNSC dalam menimbangkan apa yang patut dilakukan antaranya berkaitan penyelesaian konflik seperti menentukan pendirian berdasarkan undang-undang antarabangsa serta berpegang pada pendirian berdasarkan prinsip.

"Ini akan jadi pegangan wakil kita untuk meneruskan tradisi selama ini yang mengambil kira berdasarkan prinsip utama dasar luar negara," katanya.

Dalam melihat sesuatu isu, katanya, Malaysia akan membuat keputusan berdasarkan dasar kerajaan serta pertimbangan secara mendalam dan juga mendapatkan pandangan wakil Malaysia sebelum membuat sesuatu keputusan.

Bagi dasar-dasar Malaysia yang jelas dalam isu tertentu seperti hak Palestin, beliau berkata Malaysia akan terus mempertahankannya dan memperjuangkan pendirian Malaysia itu.

Najib Tun Razak , UNSC , PBB

Artikel Sebelum

JPJ Lelong Kenderaan Bulan Depan

Artikel Berikut

Artikel Berkaitan

Klik

default image

Penggunaan air di Malaysia lebih tinggi daripada negara jiran? Jom kita jimat air!

ADAKAH penggunaan air kita setiap hari ke arah penjimatan atau pembaziran?

default image

Teknologi analitik data raya asas pelaksanaan inisiatif kerajaan masa depan – Saifuddin Nasution

PROGRAM Subsidi Petrol merupakan inisiatif kerajaan untuk meringankan beban isi rumah berpendapatan rendah melalui pengagihan semula subsidi petrol.

default image

Subsidi untuk rakyat hidup selesa, ketahui fakta penting mengenai inisiatif ini

KOS sara hidup semakin meningkat dan kerajaan prihatin untuk mengurangkan beban rakyat.

default image

Putrajaya... tak kenal maka tak cinta

PUTRAJAYA dibina atas sebuah impian. Dan berdasarkan beberapa pertimbangan, ia merupakan lokasi impian untuk didiami.

default image

Perahu naga bakal 'membelah' Tasik Putrajaya, 90 pasukan korporat berentap rebut gelaran juara!

SEMUA peserta nampaknya tidak sabar untuk menyahut cabaran bagi merebut gelaran juara perlumbaan perahu naga di Tasik Putrajaya.

Artikel Lain