suria

Sasaran WCC Boleh Dicapai - Rohani

KUALA LUMPUR: Sasaran sebanyak 55 peratus wanita kembali bekerja tahun depan akan tercapai apabila lebih tumpuan diberikan terhadap golongan ini dalam Bajet 2015 yang diumumkan petang Jumaat.


Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Rohani Abdul Karim berkata, walaupun tidak semua ditunaikan tetapi antara cadangan kementerian yang mendapat perhatian adalah penyediaan Taman Asuhan Kanak-Kanak (Taska), cuti bersalin, penjagaan anak dan latihan khas kepada wanita untuk kembali bekerja.

"Walaupun tidak 100 peratus ... Alhamdulillah, apa yang diumumkan ini menunjukkan sasaran 55 peratus wanita bekerja akan tercapai pada 2015," katanya ketika ditemui pemberita di Lobi Parlimen pada Jumaat.

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dalam pembentangan Bajet 2015 di Dewan Rakyat, mengumumkan peruntukan RM2.26 bilion kepada Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat bagi pembangunan dan operasi mempergiat penglibatan wanita dalam pasaran kerja dan aktiviti keusahawanan.

Ia termasuk pembentukan Program Sokongan Untuk Suri Rumah 1Malaysia bagi memberi latihan kemahiran dan galakan kepada suri rumah memasuki pasaran kerja.

Program Wanita Kembali Berkerjaya (WCC) pula diwujudkan untuk wanita kembali bekerja berdasarkan kelayakan profesional melalui Talent Corp.

Selain itu, Yang Dipertua Pertubuhan Tindakan Wanita Islam (Pertiwi) Prof Emeritus Datuk Dr Nik Safiah Karim berkata, suri rumah harus mengambil peluang daripada kedua-dua program itu untuk memajukan ekonomi keluarga dan tidak hanya bergantung kepada suami.

"Pendapatan suami kadang kala tidak mencukupi untuk menyara keluarga, jadi melalui program sokongan untuk suri rumah, isteri boleh menambah kemahiran dan menjalankan perniagaan kecil-kecilan dari rumah.

"Bagi program WCC pula, kita tahu ramai wanita berkelayakan berhenti kerja untuk menjaga anak di rumah, tetapi dengan pengalaman yang ada apabila anak sudah besar, mereka boleh kembali bekerja dan menyumbang kepada ekonomi keluarga," katanya kepada Bernama ketika dihubungi, Jumaat.

Sementara itu, Naib Yang Dipertua Persatuan Siswazah Wanita Malaysia (PSWM), Datuk Atikah Adom berkata, keputusan kerajaan membenarkan majikan mewujudkan pusat jagaan kanak-kanak di aras lebih tinggi adalah langkah tambahan untuk menggalakkan suri rumah kembali bekerja.

"Kebanyakan suri rumah keberatan untuk bekerja kerana kurang yakin dengan pusat jagaan kanak-kanak, jadi apabila ada pusat jagaan di tempat mereka bekerja, mereka boleh memantau anak-anak secara dekat," katanya.





 

Artikel Lain