suria

Kerajaan Sedia Pelan Strategik Tangani Ebola - Subramaniam

Ebola.
SHAH ALAM: Kementerian Kesihatan telah mempunyai pelan strategik untuk membendung wabak Ebola sebagai persediaan awal jika terdapat kes penyakit itu dikesan di negara ini.

Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr S. Subramaniam berkata pelan strategik itu meliputi kaedah menangani dan mengendalikan kes penyakit itu termasuklah garis panduan kepada Jabatan Imigresen, pihak lapangan terbang dan juga kementerian berkaitan.
 
"Semalam kita mendapat maklumat bahawa Amerika Syarikat dilapor mengesan satu kes berkaitan wabak tersebut dan sebab itu kita mesti bersedia dengan sistem yang betul supaya kita dapat membendungnya.
 

"Untuk mencegahnya daripada masuk ke negara ini sehingga 100 peratus, kita akan cuba sebaik mungkin," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Majlis Anugerah Kantin Bersih, Selamat dan Sihat di Pusat Konvensyen Shah Alam di sini, Khamis.

Beliau berkata sebagai langkah awal, pelancong yang datang atau pernah melawat 'Negara Demam Kuning' akan dikuarantin terlebih dahulu di lapangan terbang sebelum mengisi borang di pejabat Imigresen bagi mengumpulkan data mengenai kemasukan mereka ke negara ini.

 
Subramaniam berkata pelancong terlibat juga akan diminta berjumpa doktor perubatan sekiranya mengalami demam dan perlu menyatakan latar belakang perjalanan mereka.

"Semua pengamal perubatan disaran sentiasa mengambil kira latar belakang perjalanan mana-mana individu terutamanya jika melihat mereka berkemungkinan datang daripada 'Yellow Fever Country'.
 
"Kita perlu kumpul maklumat itu sebagai persediaan untuk membendungnya terutama jika melihat ada simptom seperti wabak tersebut," katanya.

Ebola, Subramaniam

Artikel Lain