suria

Tiada Rakyat Malaysia Terjejas Protes Di Tamil Nadu - Wisma Putra

KUALA LUMPUR: Konsul Jeneral Malaysia di Chennai, India mengesahkan tiada laporan rakyat Malaysia termasuk pelajar yang cedera atau terjejas dengan protes yang berlaku di negeri Tamil Nadu.

Menurut kenyataan Kementerian Luar, walaupun keadaan di Tamil Nadu secara am kembali normal dengan pengangkutan awam dan perniagaan beroperasi seperti biasa, namun suasana masih kekal tegang dengan laporan protes berterusan di beberapa bahagian Chennai dan seluruh negeri berkenaan.

"Kementerian menasihati semua rakyat Malaysia di Tamil Nadu agar lebih berhati-hati dan mengambil langkah perlu demi keselamatan mereka dan mengelak kawasan berlaku protes dan perhimpunan besar-besaran," katanya.

Kenyataan Wisma Putra berkata rakyat Malaysia yang mahu ke Tamil Nadu dinasihati untuk memaklumkan kehadiran mereka kepada konsul jeneral Malaysia di  Chennai.

Rakyat Malaysia yang memerlukan bantuan boleh menghubungi konsul jeneral di talian +091-44-24334434/35/36 atau e-mel di [email protected]

Protes berlaku di negeri selatan India itu selepas ketua menteri wanitanya J. Jayalalithaa, 66, didapati bersalah dalam kes pemilikan harta secara haram dan dihukum penjara empat tahun dan denda berat.
Tamil Nadu, protes

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain