suria

PKR Tarik Balik Kenyataan Berhubung Surat Istana

Saifuddin Nasution Ismail.
PETALING JAYA: Parti Keadilan Rakyat (PKR) menarik balik kenyataan mendakwa Istana Selangor tidak menolak pencalonan Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail sebagai Menteri Besar Selangor yang baharu, 20 minit selepas ianya diedarkan.

Setiausaha Agung PKR, Datuk Saifuddin Nasution Ismail mengedarkan kenyataan media mengenai perkara itu kira-kira pukul 9.30 malam Rabu sebelum meminta media menarik balik kenyataan tersebut.

Ketika dihubungi Saifuddin berkata kenyataan tersebut ditarik balik kerana 'beberapa maklumat' perlu ditukar dan kenyataan terbaharu akan diedarkan pada Khamis.

Dalam kandungan khidmat pesanan ringkas (SMS) dan e-mel kepada pelbagai agensi media, Pengarah Komunikasi PKR, Fahmi Fadzil mengingatkan media supaya tidak menyiarkan kenyataan tersebut.

Kenyataan asal PKR sepatutnya merupakan maklum balas terhadap surat dari Istana Selangor yang mengingatkan parti itu supaya menghantar lebih daripada dua nama untuk dipertimbangkan Sultan Selangor sebagai menteri besar.

PKR turut merakamkan penghargaan kepada Istana kerana mengesahkan penerimaan surat bertarikh 1 September yang menamakan Wan Azizah sebagai calon tunggal untuk jawatan tersebut. 

Saifuddin berkata, berdasarkan pemahamannya mengenai isi kandungan surat tersebut, tidak ada penolakan terhadap nama Wan Azizah sebagai calon Menteri Besar Selangor yang baru. 

PKR turut menyatakan Istana turut mengingatkan agar lebih daripada dua nama dikemukakan kepada Sultan Selangor.

Artikel Sebelum

Artikel Lain