suria

Ruslan Enggan Tarik Balik Kenyataan Kontroversi

Ruslan Kassim.

PETALING JAYA: Yang Dipertua Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa) Negeri Sembilan, Ruslan Kassim enggan menarik balik kenyataan kontroversinya yang mengancam akan 'memancung kepala' beberapa Ahli Parlimen PAS.

Ruslan berkata sebenarnya perkataan itu merujuk kepada istilah 'memancung' dari sudut politik iaitu menjatuhkan karier keempat-empat pemimpin PAS itu menerusi proses demokrasi.

Empat Ahli Parlimen itu adalah Khalid Samad (Shah Alam), Dr Siti Mariah Mahmud (Kota Raja), Hanipa Maidin (Sepang) dan Che Rusli Che Mat (Hulu Langat).

"Saya sebenarnya merujuk kepada tindakan memancung dari sudut politik, bukannya mahu pancung kepala mereka. Ini bermaksud pengundi harus menjatuhkan pemimpin yang mempersendakan Islam pada pilihan raya umum (PRU) nanti," katanya ketika dihubungi mStar Online pada Rabu.

Jelas Ruslan, karier politik keempat-empat pemimpin itu perlu dijatuhkan kerana mereka mendesak agar kuasa Majlis Agama Islam Selangor (Mais) dihadkan.

"Jadi saya minta pengundi beragama Islam di kawasan empat pemimpin ini memancung karier politik mereka. Kita tidak akan berkompromi dengan parasit kepada Islam," katanya.

Ruslan yang juga bekas ketua penerangan badan bukan kerajaan (NGO) itu turut menjelaskan beliau tidak pernah menggalakkan orang ramai untuk menyerang Ahli Parlimen menggunakan pedang atau parang.

"Tak adalah kita nak mengasah parang. Kita cintakan keamanan dan kedamaian," katanya.

Ruslan dikritik oleh pelbagai pihak berhubung kenyataannya yang mengancam untuk 'memancung kepala' empat Ahli Parlimen PAS.

Kenyataan itu didakwa dikeluarkannya pada perhimpunan Perkasa di Shah Alam, Isnin lalu dimana ahli-ahli NGO tersebut menunjukkan sokongan kepada pihak berkuasa Jais yang merampas kira-kira 300 Bible dalam versi Bahasa Melayu dan Iban pada Januari lalu.





Katanya,  empat Ahli Parlimen Pembangkang dilaporkan mendesak agar kuasa Majlis Agama Islam Selangor (Mais) dihadkan.


Artikel Lain