suria

2,000 Anggota Perkasa Berhimpun Sokong Sultan, Mais & Jais

Yang Dipertua Pertubuhan Pribumi Perkasa (PERKASA) Selangor, Abu Bakar Yahya (tiga dari kanan) menyerahkan memorandum sokongan taat setia kepada Sultan Selangor serta sokongan kepada Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) dan Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) berhubung isu rampasan Bible, kepada wakil pihak istana di hadapan Istana Bukit Kayangan di Shah Alam, Isnin. Kira-kira 2,000 anggota Badan Bukan Kerajaan (NGO) itu berkumpul secara aman di hadapan Istana Bukit Kayangan. -fotoBERNAMA
SHAH ALAM: Kira-kira 2,000 anggota Pertubuhan Pribumi Perkasa (Perkasa) berhimpun secara aman di sini pada Isnin bagi menyokong tindakan pihak berkuasa agama negeri itu berhubung isu rampasan kitab Bible.

Mereka menyokong tindakan Majlis Agama Islam Selangor (Mais) dan Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) berhubung isu Bible yang dirampas daripada Pertubuhan Bible Malaysia (PBM), Januari lepas.

Bercakap kepada pemberita di sini, Yang Dipertua Perkasa Selangor Abu Bakar Yahya berkata perhimpunan itu juga diadakan bagi menzahirkan sokongan taat setia kepada Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah yang menitahkan isu itu diselesaikan mengikut undang-undang.

Beliau berkata perhimpunan itu turut diadakan bagi membantah tindakan empat anggota Parlimen PAS iaitu Khalid Abdul Samad (Shah Alam), Dr Siti Mariah Mahmud (Kota Raja), Hanipa Maidin (Sepang) dan Che Rosli Che Mat (Hulu Langat) yang mahukan Kerajaan Selangor menghapuskan kuasa eksekutif Mais.

Perhimpunan selama dua jam bermula 11 pagi itu turut dihadiri Presiden Perkasa Datuk Ibrahim Ali dan Ketua Penerangannya Ruslan Kasim.

Sebelum ini, Peguam Negara Abul Gani Patail mengumumkan bahawa pendakwaan tidak akan dilakukan berhubung rampasan Bible itu dan kes berkenaan ditutup.

Berikutan itu, Menteri Besar Selangor Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim mengarahkan Jais memulangkan Bible berkenaan kepada PBM bagaimanapun, Pengerusi Mais Datuk Mohamad Adzib Mohd Isa berkata Mais tidak bersetuju dengan arahan Kerajaan Selangor dengan alasan ia di luar bidang kuasa kerajaan negeri.
Perkasa, Bible

Artikel Lain