suria

Banyak Projek Polis Tertangguh Kerana Masalah Kontraktor

Ibu pejabat polis Johor yang sepatutnya siap pada Julai tahun lepas telah tertangguh pembinaannya disebabkan masalah kontraktor.
JOHOR BAHRU: Sekurang-kurangnya sebanyak 14 projek polis di seluruh negara yang bernilai RM1 bilion sedang tertangguh, termasuk satu projek yang tertangguh selama 10 tahun, kebanyakannya disebabkan masalah kontraktor.

Projek-projek di Johor, Negeri Sembilan, Pahang, Kelantan dan Sabah itu termasuk kem Pasukan Gerakan Am, ibu pejabat polis negeri, pusat-pusat kawalan daerah, balai polis, berek polis, sambungan bangunan yang sedia ada dan muzium polis.

Salah satu projek yang telah ditangguhkan selama 10 tahun disebabkan masalah yang timbul daripada perjanjian pertukaran tanah manakala kerja-kerja di enam projek yang lain masih belum bermula.

Antara projek yang terjejas di Johor termasuk pembinaan blok baru untuk ibu pejabat polis negeri, ibu pejabat polis daerah Nusajaya yang baharu dan muzium polis di Bukit Kepong, Muar.

Projek-projek lain yang mempunyai masalah termasuklah ibu pejabat polis daerah yang baharu di Kelantan dan Pahang.

"Saya boleh mengesahkan bahawa projek-projek ini sama ada lambat atau ditinggalkan di peringkat pertengahan kerana masalah dengan kontraktor," kata Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar dalam satu wawancara.

Beliau berkata walaupun kementerian itu merupakan pengguna akhir, kontraktor-kontraktor telah dilantik dan diuruskan oleh Jabatan Kerja Raya (JKR), Unit Perancang Ekonomi (EPU) bersama-sama dengan Kementerian Kewangan.

Katanya, beliau dan Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi telah bekerjasama dengan agensi-agensi untuk memulihkan projek-projek yang telah dilancarkan berdasarkan syor-syor Suruhanjaya Diraja Penambahbaikan Perjalanan dan Pengurusan Polis Diraja Malaysia.

"Kerajaan telah melakukan peranannya dengan melaksanakan cadangan tetapi kontraktor telah gagal untuk melaksanakannya," katanya.

Wan Junaidi berharap semua projek masa depan akan dipantau rapi untuk mengelakkan masalah tersebut daripada berulang.

"Selain projek di bawah polis, projek-projek kementerian lain termasuk yang melibatkan Jabatan Penjara juga menghadapi masalah disebabkan oleh kontraktor," katanya.

Bulan lepas, The Star melaporkan bahawa ibu pejabat polis Johor telah ditangguhkan selama 10 bulan dan hanya siap 56 peratus.

Projek tersebut yang terdiri daripada blok pentadbiran, tempat letak kereta bertingkat dan perumahan, telah dilancarkan pada tahun 2010 dan sepatutnya siap pada 18 Julai tahun lepas.

Dilaporkan bahawa kontraktor terlibat, yang mengupah berpuluh-puluh pekerja Bangladesh dan Indonesia telah gagal membayar gaji pekerja mereka untuk sekurang-kurangnya dua bulan sebelum perkhidmatan mereka ditamatkan.

Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah Johor Datuk Hasni Mohammad berkata JKR telah menamatkan perkhidmatan kontraktor bagi projek tersebut.

"Projek ini akan ditender semula supaya kontraktor baru boleh menyiapkan kerja-kerja tertangguh," katanya.

Hasni berkata, beliau hairan mengapa syarikat itu tidak dapat menyiapkan kerja-kerjanya walaupun diberi tempoh sambungan.

Artikel Lain