suria

Perak Catat Tangkapan Tertinggi Kesalahan Dadah

Mohd Nasri (kanan) menyerahkan dokumen kepada Ketua Jabatan Narkotik Perak yang baharu, Toon Khuan sambil disaksikan Paramasivam pada majlis yang diadakan Isnin.
IPOH: Perak menjadi negeri yang mencatatkan tangkapan tertinggi untuk pelbagai kesalahan berkaitan dadah iaitu 5,179 bagi tempoh Januari hingga Mei, kata Timbalan Ketua Polisnya, Datuk A. Paramasivam,

Beliau berkata, ia menunjukkan peningkatan sebanyak 1,136 tangkapan berbanding tempoh sama tahun lalu.

Daripada jumlah itu, katanya, seramai 836 merupakan pengedar yang dikenakan tindakan mengikut Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 bagi tempoh tersebut, berbanding 531 orang tempoh sama tahun lalu.

Beliau berkata demikian pada majlis serah terima tugas Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Perak, antara pemangku jawatan itu Superitenden Mohd Nasri Omar dengan Asisten Komisioner Yap Toon Khuan.

Toon Khuan yang sebelum ini menjawat jawatan sama di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Pahang memulakan tugasannya hari ini bagi menggantikan Mohd Nasri.

Paramasivam berkata, daripada 5,179 tangkapan itu, 4,267 penagih dikenakan tindakan mengikut ADB 1952 dan 76 orang dikenakan tindakan mengikut Langkah-langkah Pencegahan Khas.

Sementara itu, Toon Khuan ketika ditemui pemberita berkata, dalam tempoh lima bulan pertama tahun ini juga, polis merampas sejumlah 218,227 gram pelbagai jenis dadah dan 1,637 biji pelbagai jenis pil khayal.

Bagi harta benda pengedar dadah yang disita, Yap berkata sejumlah RM1.2 juta harta berjaya disita bagi tempoh itu.

"Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Kontinjen Perak akan terus meningkatkan operasi di pusat-pusat hiburan, tempat pengedaran dadah, hotel, rumah tumpangan serta pusat snooker di negeri ini," katanya.


Artikel Lain