suria

Tiga Fokus Utama Lindungi Negara - KPN

Tan Sri Khalid Abu Bakar (kanan) menunjukkan sesuatu kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi di Pulapol pada Selasa.

KUALA LUMPUR: Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar pada Selasa menggariskan tiga fokus perkhidmatan Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang profesional dan berkualiti bagi melindungi negara dan menjamin persekitaran selamat kepada masyarakat.

Katanya tiga fokus itu adalah ketenteraman awam, mengurangkan jenayah dan pemantapan integriti dalam pasukan, yang selari dengan Program Transformasi Kerajaan 2.0, melibatkan lima elemen tumpuan Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA) 2.0.

"Ia adalah mengurangkan jenayah indeks sebanyak lima peratus setahun, kejadian pecah rumah (lima hingga 10 peratus) setahun, meningkatkan persepsi terhadap keselamatan 65 peratus, meningkatkan kadar pendakwaan bagi kertas siasatan yang dibuka kepada 35 peratus dan meningkatkan kepuasan orang ramai 85 peratus," katanya.

Berucap pada majlis sambutan Peringatan Hari Polis Ke-207 di Pusat Latihan Polis Jalan Semarak di sini, beliau berkata bagi fokus pemantapan integriti, pasukan itu dalam rangka penubuhan Jabatan Integriti Pematuhan Standard sebagai langkah meningkatkan disiplin serta persepsi positif PDRM.

Pada tahun ini, kata beliau, PDRM akan melaksanakan Kempen Tolak Rasuah, yang bertujuan membetulkan persepsi negatif dan mengembalikan kepercayaan masyarakat terhadap institusi polis yang berusia 207 tahun, serta menjadikannya sebagai institusi berwibawa.

Khalid berkata PDRM meletakkan aspek integriti sebagai nilai tambah utama dalam pengurusan organisasi bertujuan meningkatkan keyakinan dan kepercayaan masyarakat.

Bagi melahirkan pegawai polis yang lebih berwibawa, beliau berkata PDRM memberi penekanan kepada aspek latihan dan sentiasa mengemas kini pengetahuan setiap pegawai polis agar selari dengan arus perubahan.

"Antara usaha yang dilakukan termasuklah berkoloborasi dengan University of Derby, United Kingdom. Ini adalah sebahagian daripada transformasi Bahagian Latihan PDRM ke arah 'World-Class Policing'," katanya.

PDRM, Pulapol, NKRA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain