suria

Pesawat MH370 Berakhir Di Selatan Lautan Hindi - Najib

PETALING JAYA: Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak mengesahkan bahawa pesawat Penerbangan Malaysia (MAS) MH370 yang hilang sejak 8 Mac lalu berakhir di selatan Lautan Hindi di barat Perth, Australia.

Beliau yang bercakap dalam sidang media pada malam Isnin berkata, berdasarkan analisis baru, Cawangan Siasatan Kemalangan Udara United Kingdom (AAIB) telah menyimpulkan bahawa pesawat MH370 telah terbang di sepanjang Koridor Selatan, di tengah Lautan Hindi, di barat Perth, Australia.

Najib menambah, Immarsat yang merupakan syarikat United Kingdom menyediakan data satelit yang menunjukkan koridor utara dan selatan.

"Menggunakan sejenis analisis tidak pernah digunakan sebelum ini, mereka telah dapat mengesan laluan penerbangan terakhir MH370. Kedudukan itu jauh dari mana-mana lokasi pendaratan.

"Dengan duka cita saya perlu memberitahu anda bahawa menerusi perkembangan terbaharu ini, pesawat MH370 berakhir di selatan Lautan Hindi," katanya di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di Kuala Lumpur.

Najib berkata, satu sidang media akan diadakan pada Selasa berhubung perkembangan lanjut mengenai pesawat MH370.

Beliau menambah, ia merupakan peluang terawal untuk menunjukkan komitmen dan menghormati keluarga penumpang dan anak kapal, yang merupakanprinsip dalam penyiasatan berhubung kehilangan pesawat MH370.

“MAS (Penerbangan Malaysia) telah memaklumkan mengenai perkembangan ini kepada semua keluarga penumpang dan anak kapal. Bagi mereka, beberapa minggu lepas merupakan tempoh yang memilukan, saya sedar berita ini akan lebih menyedihkan lagi. Saya menggesa pihak media menghormati privasi mereka dan memberikan mereka ruang yang diperlukan di waktu sukar seperti ini," katanya.

Penerbangan MH370 yang menggunakan pesawat Boeing 777, hilang dari radar Malaysia pada pukul 1.30 pagi 8 Mac selepas berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) menuju ke Beijing.

Pesawat yang membawa 239 penumpang dan anak kapal itu sepatutnya tiba di Beijing pada pukul 6.30 pagi hari yang sama.




Artikel Lain