suria

Malaysia Akan Muncul Sebagai Negara Berpendapatan Tinggi Menjelang 2020 - Dr Mahathir

Tun Dr Mahathir Mohamad
KATHMANDU: Tun Dr Mahathir Mohamad berkata Malaysia, yang kini sebuah negara berpendapatan sederhana, akan mencapai taraf negara berpendapatan tinggi menjelang 2020, sejajar dengan perancangan komprehensif dan usaha kerajaan untuk mencapai matlamat itu. 

Dalam ucapan sepontan beliau pada Persidangan Perniagaan Nepal 2014 pada Ahad, Dr Mahathir menjelaskan tentang wawasan pembangunan beliau ketika menjadi perdana menteri Malaysia selama 22 tahun.

"Sebenarnya, bukan saya, tetapi bapa pengasas Malaysia dahulu yang menetapkan garis panduan untuk pembangunan, pemodenan dan pengindustrian negara kami dan saya hanya meneruskannya sahaja," kata beliau ketika menyentuh tentang dasar yang dilaksanakan Malaysia pada awal penubuhannya.

"Ketika Malaysia mencapai kemerdekaan, 50 peratus rakyatnya berada dalam kemiskinan dan para pengasas itu sedar bahawa negara kami perlu membebaskan rakyatnya daripada belenggu kemiskinan, dan untuk tujuan itu, mereka memberi fokus terhadap kestabilan, keharmonian sosial dan perkongsian kuasa politik serta sumber ekonomi secara saksama," katanya.

Beliau berkata dasar itu membuahkan hasil dan seterusnya membolehkan Malaysia beransur-ansur muncul sebagai negara berpendapatan sederhana.

Artikel Lain