suria

MH370: Anwar Buat Kesimpulan Kerajaan Cuai

Anwar mendakwa kehilangan MH370 yang hingga kini masih gagal dikesan berpunca daripada kecuaian kerajaan. Foto: The Star/NORAFIFI EHSAN
KAJANG: Datuk Seri Anwar Ibrahim mendakwa misteri kehilangan pesawat Penerbangan Malaysia (MAS) MH370 yang hingga kini masih gagal dikesan berpunca daripada kecuaian kerajaan.

Malah Ketua Pembangkang itu menuduh dan membuat kesimpulan bahawa kehilangan MH370 membuktikan Malaysia mengabaikan isu keselamatan negara.

"Kamu cuai, kamu tidak cekap, kamu tak tahu nak jaga radar dan tidak tahu nak jaga keselamatan negara.

"Apa jadi dengan radar kita? Kenapa tidak boleh kesan pesawat yang dikatakan sudah berpatah balik dari laluan asal? Adakah sistem radar yang sofistikated itu ditutup?" soalnya pada Jumaat malam.

Beliau bekata demikian ketika berucap pada majlis pelancaran Reformasi 2.0 ketika kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Kajang di Stadium Kajang di sini.

Selain itu Anwar turut menggesa Menteri Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein supaya bertanggungjawab terhadap kehilangan pesawat yang membawa 239 termasuk 12 anak kapal itu.

"Menteri kena jawab mengapa radar tidak berfungsi? Menteri Pertahanan perlu letak jawatan jika gagal menjawab persoalan ini.

"Perkara ini berkaitan isu kesalamatan negara, ini ancaman keselamatan kerana kecuaian," katanya.

Menerusi ucapannya, Anwar turut meraih simpati dan mempersoalkan mengenai pihak yang bertanggungjawab terhadap penyebaran maklumat mengenai hubungannya dengan juruterbang MH370, Kapten Zaharie Ahmad Shah.

"Sudah heboh Anwar kenal Zaharie...Zaharie kenal Anwar.  Siapa bagi maklumat kepada The Mail? Siapa, sumber mana, risikan mana atau polis mana yang bagi maklumat itu?

"Sebaik sahaja The Mail keluarkan laporan itu, semua pihak menyerang saya kerana perkara itu," katanya.

Sebelum ini akhbar luar negara termasuk The Mail menyiarkan laporan bahawa Zaharie merupakan penyokong fanatik kepada Anwar.

Menurut laporan tersebut, beberapa jam sebelum penerbangan itu meninggalkan Kuala Lumpur, difahamkan bahawa Zaharie, 53, menghadiri perbicaraan Anwar di mana pemimpin itu dijatuhkan hukuman penjara selama lima tahun.

Zaharie turut disahkan sebagai ahli seumur hidup PKR Cabang Subang.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain