suria

Tahap Keselamatan Kebakaran Di KLIA2 Memuaskan

Wan Mohd Nor Ibrahim.
Wan Mohd Nor Ibrahim.

KUANTAN: Sistem keselamatan kebakaran di terminal tambang murah, KLIA2 di Sepang, kini telah siap lebih 90 peratus yang membolehkannya beroperasi pada bila-bila masa sahaja.

Ketua Pengarah Bomba dan Penyelamat Malaysia, Datuk Wan Mohd Nor Ibrahim berkata, hasil penelitian oleh pihaknya mendapati aspek-aspek utama berkenaan sistem keselamatan kebakaran di KLIA2 telah siap sepenuhnya.

"Memang kita tidak boleh berkompromi dari segi keselamatan dan ada laporan menyatakan aspek keselamatan kebakaran hanya siap 65 peratus. Itu tidak benar; kerana bagi saya lebih 90 peratus sistem itu telah siap.

"Saya juga telah memberitahu Menteri Pengangkutan (Datuk Seri Hishammuddin), untuk projek besar memang susah nak siap sepenuhnya dalam masa yang ditentukan, namun apa yang penting perkara yang besar telah diselesaikan," katanya.

Beliau bercakap kepada pemberita selepas majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang Jabatan Bomba dan Penyelamat Pahang di sini, Isnin.

Katanya, dalam aspek memadam kebakaran, perkara penting ialah pengurusan asap agar orang ramai dapat keluar dengan selamat dalam masa yang singkat jika berlaku kebakaran.

Serentak itu, katanya, anggota bomba boleh memasuki premis berkenaan untuk melakukan pemadaman dan (dalam hal KLIA2) kedua-dua perkara itu telah diambil kira.

Katanya, hanya perkara-perkara kecil seperti pemasangan papan tanda arah kebakaran yang boleh disiapkan dalam masa terdekat belum diselesaikan.

Namun katanya, secara keseluruhan Jabatan Bomba dan Penyelamat berpuas hati dengan aspek keselamatan kebakaran di terminal tersebut. - BERNAMA

Artikel Lain