suria

Lelaki Maut Ditetak Di Tepi Pasar Aulong, Taiping

IPOH: Seorang lelaki berusia 32 tahun maut selepas ditetak dengan parang dalam satu kejadian di tepi Pasar Aulong, Taiping malam Selasa.

Ketua Polis Daerah Taiping ACP Yusof Mohd Diah berkata susulan kejadian 10.30 malam itu, polis hari ini memberkas seorang lelaki yang dipercayai suspek utama kes.

Dalam kejadian malam tadi, M. Rathakrisnan maut di tempat kejadian akibat kecederaan parah di leher selepas ditetak seorang lelaki yang datang menaiki kereta jenis Proton Waja di tepi pasar berkenaan, katanya ketika dihubungi Rabu.

Katanya suspek kemudian meninggalkan tempat kejadian namun polis berjaya mengenal pasti lelaki itu dan memberkasnya pagi tadi.

Beliau bagaimanapun enggan mengulas lanjut mengenai suspek mahupun motif kejadian.

Polis kini menjalankan siasatan bagi mengenal pasti individu lain yang mungkin terlibat, katanya. - BERNAMA

Artikel Lain