suria

Tukang Masak Ditemui Mati Dipercayai Dibunuh

MELAKA: Seorang tukang masak ditemui mati dipercayai dibunuh di rumah sewanya di Taman Kota Laksamana di sini, Rabu.

Ketua Polis Daerah Melaka Tengah ACP Salehhudin Abd Rahman berkata mayat Mohd Yaser Mokhtar, 31, ditemui adiknya Siti Hanis, 27, dalam keadaan terlentang dengan kaki dan tangan terikat di bilik air kira-kira 7.30 malam.

Beliau berkata siasatan awal polis mendapati terdapat kesan tikaman di bahagian kiri perut mangsa yang bekerja di sebuah restoran di Limbongan di sini.

"Barangan berharga milik mangsa seperti telefon bimbit, dompet dan kereta juga didapati hilang dipercayai dilarikan suspek," katanya kepada pemberita di sini Khamis.

Beliau berkata polis tidak menolak kemungkinan mangsa dan suspek mungkin mengenali antara satu sama lain disebabkan tiada kesan pecah masuk atau kesan umpilan ditemui pada pintu rumah mangsa.

Katanya tiada unsur pergelutan ditemui di rumah itu.

Sehubungan itu, Salehhudin meminta orang ramai menghubungi polis sekiranya mempunyai maklumat atau melihat kenderaan mangsa iaitu Proton Waja berwarna silver dengan nombor pendaftaran JGG 4069. -BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

171 Pati Ditahan di Tawau

Artikel Lain