suria

Pembantu Rumah Mati Mengejut Selepas Rumah Majikan Dirompak

GEORGE TOWN: Seorang pembantu rumah warga emas meninggal dunia selepas banglo milik majikannya di Jalan Vermont, di sini dimasuki dua perompak pada Khamis.

Timbalan Ketua Polis Daerah Timur Laut Supritendan Ismail Idris berkata kejadian berlaku 8 pagi ini dan polis menerima laporan kejadian daripada pemilik rumah itu pada 3.05 petang dan mendapati kesemua bilik di rumah berkenaan digeledah suspek.

Siasatan awal mendapati mangsa, Phuah Tat Keat, 76, meninggal dunia dalam tempoh lima jam selepas mayatnya ditemui terlentang di atas katil di dalam sebuah bilik di rumah itu dan tiada sebarang kesan kecederaan ditemui pada tubuhnya.

"Wanita itu bekerja sebagai orang gaji di rumah berkenaan lebih 30 tahun bersama adik perempuannya yang berusia 74 tahun dan mereka dianggap seperti saudara sendiri oleh tuan rumah. Ketika kejadian hanya mereka berdua tinggal di banglo tiga tingkat itu," katanya kepada pemberita di sini, Khamis.

Beliau berkata tiada kesan pergelutan ditemui di dalam bilik tidur itu dan setakat ini mangsa diklasifikasi sebagai mati mengejut.

Ismail berkata menurut adik Phuah, perompak menolak dia ke dalam biliknya dan diarah meniarap manakala kakaknya dibawa naik ke tingkat satu rumah itu.

"Disebabkan terlalu takut, suspek tidak melihat wajah perompak terbabit dan seorang daripada suspek itu bercakap dalam dialek Hokkien mengarahkan mereka berdua tidak melawan jika tidak mahu dicederakan," katanya.

Sepasukan Unit Anjing Pengesan turut digegaskan ke rumah itu untuk menjejaki suspek dan usaha mengesan mereka menjadi sukar berikutan tiada kamera litar tertutup di lokasi kejadian.

Beliau berkata hanya wang angpau milik anak tuan rumah berkenaan hilang.

Mayat wanita itu dihantar ke Jabatan Forensik Hospital Pulau Pinang untuk bedah siasat. -BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

171 Pati Ditahan di Tawau

Artikel Lain