suria

Pesara Guru Suami Isteri Maut Kemalangan

BALING: Sepasang suami isteri yang merupakan pesara guru, maut setelah motosikal yang mereka naiki terbabit dalam pelanggaran dengan sebuah kenderaan, di jalan utama Kampung Kejai-Kuala Ketil berdekatan Kampung Kuala Bakong di sini, Rabu.

Mohd Yusof Lazim, 61, dan isterinya Hamidah Dollah, 58, maut di tempat kejadian akibat cedera parah di kepala dan badan dalam kejadian kira-kira 1.45 tengah hari.

Pasangan itu dalam perjalanan pulang ke rumah mereka di Taman Batu Pekaka, Kuala Ketil ketika kejadian berlaku.

Pemandu kenderaan jenis Perodua Alza yang terbabit dalam pelanggaran itu membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah Baling.

Adik mangsa, Mohd Termizi Lazim, 51, yang ditemui di rumah mayat Hospital Daerah Baling berkata ketika kejadian, abang dan kakak iparnya dalam perjalanan pulang dari dusun buah-buahan mereka di Kampung Kejai, kira-kira dua kilometer dari tempat kejadian. -BERNAMA

Artikel Berikut

1,073 Mangsa Banjir Di Pahang

Artikel Lain