suria

Peraturan Perumahan Baru Di P.Pinang Berkuatkuasa 1 Februari

Lim Guan Eng
Lim Guan Eng
Lim Guan Eng

GEORGE TOWN: Dalam usaha untuk membendung kenaikan harga rumah, Pulau Pinang akan melaksanakan peraturan perumahan yang baru mulai 1 Februari tahun depan yang bertujuan memastikan perumahan yang mampu dimiliki.

Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng berkata perbincangan aktif diadakan secara berterusan dengan Majlis Peguam, bank-bank dan pemaju hartanah di dalam dan di luar Pulau Pinang.

"Perbincangan juga diadakan dengan persatuan-persatuan lain untuk memberikan penerangan berhubung kaedah dan peraturan perumahan baru yang akan dikuatkuasa untuk Perjanjian Jual Beli (SPA) yang ditandatangani pada atau selepas 1 Februari tahun depan, kecuali untuk rumah kos rendah atau rumah kos sederhana rendah," katanya dalam satu sidang akhbar di Komtar, Rabu.

Di bawah peraturan baru, semua rumah kos rendah (sehingga RM42,000) dan kos sederhana rendah (sehingga RM72,500) yang dibeli tidak boleh dijual dalam tempoh 10 tahun dari tarikh SPA manakala perumahan mampu milik (di bawah RM400,000 di pulau dan RM250,000 di tanah besar) yang dibeli pada atau selepas 1 Februari tahun depan tidak boleh dijual untuk tempoh lima tahun.

Pembelian oleh bukan warganegara (hartanah di Pulau Pinang melebihi RM1 juta dan bagi tanah dan bangunan di pulau itu mesti melebihi RM2 juta) akan dikenakan levi 3 peratus atas harga transaksi untuk SPA yang ditandatangani pada atau selepas 1 Februari tahun depan.

Pengecualian disediakan untuk pembelian industri atau untuk tujuan yang menggalakkan pekerjaan, pendidikan, tenaga/bakat manusia atau mempromosikan Pulau Pinang sebagai bandar antarabangsa dan pintar.

Levi 2 peratus juga akan dikenakan ke atas penjual untuk semua harta (termasuk tanah) yang dijual dalam tempoh tiga tahun dari tarikh SPA ditandatangani dari 1 Februari tahun depan.

Levi ini tidak terpakai kepada perumahan mampu milik.

Artikel Berikut

1,073 Mangsa Banjir Di Pahang

Artikel Lain