suria

Langgar Lari: Polis Minta Pemandu Lori Tampil Bantu Siasatan

SANDAKAN: Polis pada Selasa meminta seorang pemandu lori yang dipercayai terlibat dalam kejadian langgar lari hingga menyebabkan kematian seorang wanita warga emas pada Ahad lepas supaya tampil membantu siasatan.

Ketua Polis Daerah Sandakan ACP Rowell Marong berkata kejadian berlaku kira-kira 6.30 petang di Batu 13 Jalan Labuk di sini ketika wanita berusia 81 tahun itu sedang melintas jalan lalu dilanggar lori yang dalam perjalanan ke bandar Sandakan.

Mangsa yang cedera parah di seluruh badan meninggal dunia di tempat kejadian.

Rowell berkata lori yang tidak diketahui nombor pendaftarannya itu segera meninggalkan tempat kejadian manakala mayat mangsa dihantar ke Hospital Duchess of Kent untuk bedah siasat.

Sehubungan itu, beliau menasihati saksi kejadian segera tampil atau menghubungi pegawai penyiasat Inspektor Zabir di talian 089-242254 bagi membantu siasatan. - BERNAMA

Artikel Lain