suria

Wakil Umno Melaka Tidak Mahu Proses Transformasi Pinggir Masyarakat Luar Bandar

KUALA LUMPUR: Sebarang transformasi yang dilakukan parti dan kerajaan harus dibuat dengan melihat perspektif masyarakat luar bandar yang masih memerlukan perhatian.

Gesaan itu dibuat oleh wakil Umno Melaka Mustafa Musa yang menyifatkan pengundi di luar bandar merupakan pejuang setia dan pengundi tegar Umno yang membolehkan kerajaan Barisan Nasional terus kekal sehingga kini.

"Orang kampung di seluruh Melaka pesan...cakaplah kepada presiden parti inilah masa untuk Umno balas budi penduduk kampung.

"Petani dan nelayan merekalah pengundi tegar. Kerajaan tengok-tengoklah...kenaikan harga barang, tarif elektrik dan penarikan subsidi walaupun isu itu kecil bagi golongan bangsawan tetapi masyarakat marhaen yang kais pagi makan pagi masih mendambakan bantuan Umno," katanya ketika membahaskan ucapan dasar Presiden Umno Datuk Seri Najib Tun Razak pada Perhimpunan Agung Umno 2013 di sini, Jumaat.

Katanya, dari dulu hingga sekarang pembangkang sering mengambil kesempatan terhadap usaha kerajaan dengan menakut-nakutkan rakyat.

Justeru katanya, transformasi minda dan persepsi harus dijadikan agenda utama dan ibu segala transformasi supaya rakyat tidak terpedaya dengan momokan pembangkang.

"Kita tidak mahu pengundi yang tegar ini tidak kita pedulikan," katanya.

Beliau turut menyentuh golongan mahasiswa yang mudah terpedaya dengan agenda pembangkang hanya kerana mereka diabaikan.

"Mereka bukan sahaja menentang tetapi menjadi perisai revolusi dan reformasi jalanan serta mencipta budaya kotor semata-mata kerana terpengaruh.

"Mereka terpedaya dengan pembangkang disebabkan kelemahan pemimpin-pemimpin kita yang tidak turun mendekati dan merasai denyut nadi mereka," katanya.

Justeru beliau mencadangkan agar diwujudkan Biro Latihan Umno dan Biro Tatanegara diberi wajah baru bagi melahirkan belia harapan bangsa dan mempunyai sifat-sifat terpuji.

Terdahulu, beliau mengingatkan perwakilan supaya belajar daripada kejatuhan empayar Melayu Melaka bagi memastikan Umno terus kekal di negara ini.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain