suria

Sabotaj Pelaburan: Pembangkang Khianati Penyokong Sendiri - Ahmad Zahid

KUALA LUMPUR: Tindakan pembangkang menakut-nakutkan pelabur Taiwan sehingga menyebabkan negara kehilangan peluang pelaburan asing bernilai RM40 bilion bukan sahaja pengkhianatan terhadap negara tetapi juga penyokong dan pengundi mereka.

Naib Presiden Umno Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata meskipun berbeza ideologi politik, pembangkang seharusnya dapat membezakan dan mengutamakan kepentingan negara serta tidak melakukan sabotaj kepada pelaburan yang dapat menjana pendapatan negara.

"Sepatutnya dalam apa jua keadaan, mereka tidak patut menghalang kemasukan pelabur, seperti di Pulau Pinang yang dikuasai pembangkang, kerajaan pusat tidak pernah menyekat pelaburan ke sana.

"Apatah lagi dalam keadaan kemasukan pelabur ke Pengerang (Johor), kawasan yang hendak kita perkasakan industri petroleum," katanya kepada pemberita selepas menghadiri perasmian Perhimpunan Agung Umno oleh Presiden parti Datuk Seri Najib Tun Razak, Khamis.

Ahmad Zahid berpendapat pembangkang memainkan isu alam sekitar untuk sabotaj usaha tersebut dan menyifatkan tindakan itu sebagai sesuatu yang 'menjijikkan'.

"Mereka patut menyokong syarikat minyak negara Petronas. Jika mereka tidak boleh berbuat begitu, mereka patut diam dan bukannya menakutkan pelabur daripada datang ke Malaysia," katanya.

Najib semasa menyampaikan ucapan dasarnya mendedahkan Presiden Petronas Tan Sri Shamsul Azhar Abbas memaklumkan kepada beliau mengenai kehilangan peluang pelaburan dari Taiwan bagi projek Pembangunan Bersepadu Penapisan Minyak dan Petrokimia itu.

Ini kerana sebilangan pembangkang telah ke negara itu dan menakut-nakutkan pelabur terbabit.

Mengulas mengenai banjir di Pahang, Kelantan dan Johor, Ahmad Zahid yang juga Menteri Dalam Negeri berkata masih belum perlu untuk mengisytiharkan darurat meskipun keadaan banjir lebih buruk berbanding tahun-tahun sebelum ini.

"Kita akan memobilisasikan semua aspek bantuan kepada mangsa banjir.

Perdana menteri juga akan melawat kawasan banjir petang ini manakala Timbalan Perdana Menteri (Tan Sri Muhyiddin Yassin) pada pagi Jumaat menunjukkan keprihatinan mereka walaupun perhimpunan tahunan (Umno) masih berlangsung," katanya.-BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain