suria

Reman 'Tuhan Harun' & Dua Pengikut Disambung Seminggu Lagi

KUANTAN: Tempoh tahanan reman ketua kumpulan ajaran sesat 'Tuhan Harun', Harun Mat Saat dan dua pengikutnya yang sepatutnya berakhir pada Rabu disambung seminggu lagi.

Timbalan Ketua Polis Daerah Kuantan Supt Aziz Ahmad berkata ini merupakan kali kedua tempoh tahanan reman ketiga-tiga mereka dilanjutkan bagi membolehkan polis meneruskan siasatan.

Harun dan isteri ketiganya Nor Azida Mohd Zol, 30, dan pemandunya, Nor Hairi Harun, 41, ditahan reman bagi membantu siasatan kes pembunuhan Ketua Pegawai Penguat Kuasa Jabatan Agama Islam Pahang (Jaip), Ahmad Raffli Abdul Majid di hadapan rumahnya di Indera Mahkota 2, di sini 10 November lalu.

Ketiga-tiga mereka yang ditahan di Tangkak, Johor, pada 20 November lalu kini berada dalam tahanan polis di lokap Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuantan.

Harun yang direman kali pertama bagi siasatan kes tersebut pada 21 November bagaimanapun dimasukkan ke Hospital Tengku Ampuan Afzan di sini akibat serangan strok beberapa jam selepas perintah reman dikeluarkan. - BERNAMA

Artikel Lain