suria

Perwakilan Pemuda Umno Terpaksa Pulang Awal Kerana Banjir

KUALA LUMPUR: Beberapa perwakilan Pemuda Umno terpaksa meninggalkan Perhimpunan Agung Umno 2013 lebih awal susulan bencana banjir di kawasan masing-masing.

Antaranya Ketua Pemuda Umno Besut Azizul Jasmi Mohamad yang menerima khidmat pesanan ringkas daripada isterinya memaklumkan kediaman mereka di Jertih ditenggelami air.

"Saya mungkin terpaksa pulang secepat mungkin dan tidak dapat menunggu sampai habis persidangan kali ini," katanya.

Bencana banjir di beberapa kawasan di Terengganu, Pahang, dan Johor sejak beberapa hari lepas dilapor semakin buruk dengan ribuan mangsa terpaksa dipindahkan.

Ketua Pemuda Umno Kluang Datuk Khairul Anwar Rahmat pula memberitahu Bernama beberapa perwakilan dari bahagiannya telah pulang ke kawasan masing-masing bagi membantu mangsa banjir.

"Mereka dukacita tidak dapat bersama lebih lama namun reda dengan perkara ini. Mereka meminta kita teruskan semangat perjuangan ini hingga selesai persidangan," katanya.

Sementara itu, Pengerusi Biro Aduan Komuniti Pemuda Umno Sheikh Nafiq AlFirdaous berkata satu jawatankuasa khas telah ditubuhkan untuk menyalurkan bantuan ke kawasan terjejas secepat mungkin.

"Saya turut menerima banyak aduan berkenaan kecemasan ini dan ketika ini ada rakan-rakan exco dan ketua-ketua Pemuda bahagian yang terlibat dengan perhimpunan telah pulang ke kawasan masing-masing.

"Mereka turut sama-sama membantu dan memberikan bantuan yang terdaya bersama-sama rakyat," katanya. - BERNAMA

Artikel Lain