suria

Pemuda Umno Gesa Pemilihan Parti Segera Diadakan 'Post Mortem'

KUALA LUMPUR: Pergerakan Pemuda Umno pada Rabu menggesa supaya 'post mortem' pemilihan parti pada Oktober lalu dilaksanakan dengan segera.

Ketuanya, Khairy Jamaluddin berkata, sistem pemilihan baru yang bertunjangkan suara akar umbi dalam menentukan kepimpinan parti sebagai bukti transformasi dalam Umno.

"Bagaimanapun, Pemuda menggesa agar 'post mortem' segera dilaksanakan. Bukanlah kita ini ibarat mengetuk pahat bila rumah siap, tetapi penambahbaikan perlu untuk memastikan keputusan pemilihan yang saksama, dihormati dan tiada ruang pertikaian.

"Justeru, sebarang kelemahan harus tangkas diperbetulkan. Jika tidak, langkah transformasi kita ini umpama pukat terlabuh ikan tak dapat," katanya pada Perhimpunan Agung Umno bagi pergerakan Pemuda di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini, Rabu.

Khairy yang juga Menteri Belia dan Sukan berkata, proses pemilihan itu sendiri masih mempunyai ruang untuk diperkemas dan dimantapkan lagi.

Jelasnya, jangan ada kertas undi yang sama warna hingga menimbulkan keraguan mengelirukan perwakilan.

"Bila mengumumkan siapa menang siapa kalah, keputusan yang sampai ke ibu pejabat, mesti sama dengan apa yang telah disahkan oleh wakil-wakil calon di bahagian.

"Jangan si polan A menang di bahagian, si polan B pula diumumkan menang bila diisytiharkan di ibu pejabat," katanya. Menurut Khairy, mengenai logistik pula aspek kerahsiaan perlu dijaga semasa proses mengundi dijalankan. "Kita mesti menyediakan tenaga kerja yang cukup untuk memantau proses pengundian, barulah ahli tidak ragu, tidak bimbang.

"Tatacara rayuan pula mestilah sekata dan telus. Proses rayuan ini juga tidak boleh dilihat umpama menghukum atau menyebelahi mana-mana pihak.

"Kriteria pengundian semula hendaklah diperbutirkan dengan jelas oleh ibu pejabat, jangan sampai mencelarukan," katanya.

Artikel Lain