suria

Mayat Lelaki Berulat Ditemui Di Tepi Jalan

BUKIT MERTAJAM: Mayat seorang lelaki yang sudah berulat ditemui di tepi Jalan Pengkalan, Bukit Tengah di sini, Rabu.

Menurut jurucakap polis, sekumpulan pekerja Tenaga Nasional Berhad (TNB) yang sedang mencari kabel elektrik rosak di kawasan itu terhidu bau busuk dan selepas mencari punca bau itu telah menjumpai satu selimut menutupi sesuatu menyerupai bentuk badan manusia.

"Mereka yang tidak berani membuka selimut itu terus ke Balai Polis Bukit Tengah bagi membuat laporan dan anggota kita yang bergegas ke tempat kejadian menemui mayat seorang lelaki di bawah selimut tersebut.

"Mayat itu dalam keadaan mengiring dan muka tidak kelihatan jelas kerana sudah berulat. Dipercayai telah mati sejak dua hari lepas," katanya.

Katanya setakat ini polis tidak dapat mengenal pasti identiti lelaki itu kerana tiada sebarang pengenalan diri bersamanya.

Jurucakap itu berkata mayat lelaki itu yang ditemui kira-kira 12.35 tengah hari dihantar ke Hospital Bukit Mertajam untuk bedah siasat.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah (SPT) ACP Azman Abd Lah ketika dihubungi Bernama berkata polis tidak menolak kemungkinan lelaki itu mati di tempat lain sebelum ditinggalkan di tepi jalan berkenaan.

"Setakat ini kita belum tahu mengenai motif kejadian berkenaan dan siasatan lanjut sedang dijalankan. Kita minta orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kejadian itu atau kehilangan anggota keluarga menghubungi mana-mana balai polis berdekatan," katanya. - BERNAMA

Artikel Lain