suria

Kerajaan Tidak Berhasrat Tampal Pelekat Pada Barang Subsidi - Ahmad Maslan

KUALA LUMPUR: Kerajaan tidak berhasrat menampal pelekat tanda barang subsidi pada setiap barang yang diberikan subsidi, kata Timbalan Menteri Kewangan Datuk Ahmad Maslan.

Beliau berkata cadangan itu tidak dapat dilaksanakan kerana harga barang sentiasa turun naik mengikut keadaan pasaran semasa.

"Cadangan menampal stiker sebagai tanda peringatan itu bagus. Tetapi harga barang sentiasa turun naik, contohnya harga gula, bahan api dan gas memasak.

"Maka nilai pemberian subsidi barang akan sentiasa berubah-ubah," katanya ketika menjawab soalan tambahan Datuk Raime Unggi (BN-Tenom) pada persidangan Dewan Rakyat pada Rabu.

Raime ingin mengetahui langkah kerajaan untuk mengingatkan rakyat mengenai subsidi yang diberikan berikutan mereka seolah-olah tidak nampak apa yang diberikan kerajaan selama ini memberi kesan positif kepada kehidupan seharian mereka.

Menyentuh mengenai pengurangan subsidi ke atas beberapa barang, Ahmad berkata sebahagian daripada penjimatan rasionalisasi subsidi akan diberi secara terus dalam bentuk tunai dan sebahagian lagi akan digunakan bagi menampung pembiayaan program pembangunan kerajaan.

Katanya ini termasuk menyediakan peruntukan perkhidmatan pendidikan dan kesihatan, pembangunan masyarakat bandar serta luar bandar.

"Sebagai contoh dalam Belanjawan 2014, kerajaan akan membina 50 Klinik 1Malaysia serta 30 klinik desa selain menambah bekalan ubat termasuk menambah 6,800 jururawat khususnya di kawasan luar bandar," katanya semasa menjawab soalan asal Raime yang ingin tahu apakah hasil pembangunan yang dilaksanakan demi kepentingan rakyat hasil penjimatan RM3.3 bilion daripada pengurangan subsidi minyak tahun lepas.

Ahmad berkata kerajaan juga sentiasa peka dengan kemudahan infrastruktur asas dengan memperkukuh dan menaik taraf kemudahan sedia ada khususnya di kawasan luar bandar.

Katanya dalam Belanjawan 2014, kerajaan akan membaik pulih 437 kilometer jaringan jalan luar bandar di seluruh negara melibatkan peruntukan RM980 juta selain peruntukan RM500 juta bagi projek Lebuhraya Pan Borneo yang menghubungkan Semantan di Sarawak hingga Serundung di Sabah.

"Peruntukan sebanyak RM109 juta akan diperuntukkan bertujuan membangunkan ekonomi dan meningkatkan taraf hidup serta kemudahan infrastruktur masyarakat Orang Asli," katanya.-BERNAMA

Artikel Lain