suria

Konsortium Diwujud Tawar Skim Insurans Takaful Kepada Penerima BR1M

KUALA LUMPUR: Sebuah konsortium terdiri daripada beberapa syarikat insurans akan diwujudkan untuk menawarkan skim insurans takaful kepada penerima Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M).

Timbalan Menteri Kewangan Datuk Ahmad Maslan berkata konsortium itu akan mengguna pakai model konsortium yang diwujudkan untuk bank bagi membolehkan penerima BR1M menebus wang BR1M di bank terpilih sebelum ini.

Katanya kerajaan sedang meneliti untuk mewujudkan konsortium syarikat insurans tersebut.

"Kita tak beri kepada satu syarikat insurans saja. Itu pasti," katanya ketika menggulung perbahasan Rang Undang-undang Perbekalan 2014 peringkat jawatankuasa di Dewan Rakyat pada Isnin.

Kerajaan pada pembentangan Bajet 2014 mengumumkan akan mencarum RM50 untuk insurans takaful bagi setiap penerima BR1M tahun depan, yang akan memberi nilai perlindungan sehingga RM30,000 sekiranya penerima BR1M yang juga ketua isi rumah itu meninggal dunia.

"Jika ketua isi rumah meninggal, isteri dan anak akan mendapat RM30,000. Kalau ketua keluarga ialah wanita dan mereka meninggal, anak mereka akan menerima RM30,000," katanya.

Penerima BR1M juga layak menerima sehingga RM30,000 jika mengalami kecacatan kekal sepanjang tempoh tersebut.

Ahmad berkata kerajaan dapat menawarkan skim insurans itu kepada penerima BR1M berikutan penjimatan yang dibuat hasil daripada langkah rasionalisasi subsidi.

"Insurans seumpama ini hanya di Malaysia oleh kerajaan Barisan Nasional sahaja. Kita amat gembira kerana kerajaan punya inisiatif yang begitu baik untuk bantu (rakyat)," katanya. -BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain