suria

Hampir 5.9 Juta Kereta Tempatan Dijual Setakat September - Mustapa Mohamed

KUALA LUMPUR: Sejak 1985 hingga September lepas, hampir 5.9 juta kereta yang dikeluarkan oleh syarikat pengeluar kereta tempatan, dijual.

Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata daripada jumlah itu PROTON Holdings Bhd (Proton) memperkenal 18 model dengan jualan mencecah hampir 3.6 juta unit sejak ia ditubuhkan pada 1985.

"PERODUA pula menjual hampir 2.4 juta kenderaan dalam tempoh 1994 hingga September 2013. Sebanyak sembilan model kenderaan telah diperkenalkan," katanya dalam jawapan bertulis yang diedarkan di lobi Parlimen, di sini Rabu.

Lim Lip Eng (DAP-Segambut) bertanyakan senarai model kereta keluaran Proton dan Perodua mengikut tahun keluaran dan jumlah jualan setiap model setakat Oktober lepas.

Mustapa berkata model Proton Iswara, yang dijual bermula 1985, mencatat jualan tertinggi iaitu 1,139,994 juta unit, diikuti Wira (952,216), Perdana (77,178), Satria (96,765) dan terendah Suprima S (835).

"Model kancil Perodua, yang dikeluarkan bermula 1994, mencatat jualan tertinggi iaitu 708,527 unit, diikuti Myvi (703,094), Viva (406,995) dan terendah Nautica (489)," katanya.

Mustapa berkata industri automotif tempatan merupakan sektor penting dan strategik yang boleh mempercepatkan proses perindustrian sesebuah negara.

"Kerajaan akan terus memberikan bantuan dan sokongan kepada Proton dan Perodua sebagai projek nasional yang menyumbang ke arah pembangunan industri automotif tempatan," katanya. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Lain