suria

Polis Tahan Lelaki Menyamar Jadi Polis Ugut Petani

MELAKA: Polis Melaka menahan seorang lelaki yang menyamar sebagai anggota polis dan melakukan peras ugut terhadap seorang petani membabitkan wang RM10,000 di kantin Mahkamah Ayer Keroh, Rabu lepas.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Melaka ACP Raja Shahrom Raja Abdullah berkata mangsa yang berusia 36 tahun berkenalan dengan lelaki terbabit di mahkamah itu pada 11 Sept lepas dan mendakwa dapat menyelesaikan pertuduhan kes dadah membabitkan mangsa.

Beliau berkata suspek berusia 34 tahun terbabit mendakwa kononnya mengenali pegawai kanan polis dan timbalan pendakwa raya di mahkamah berkenaan.

"Suspek pada mulanya meminta RM500 daripada mangsa sebagai bayaran permulaan dan bertindak memegang kad ATM mangsa sebelum meminta mangsa memasukkan wang secara berperingkat ke dalam akaunnya mencecah RM10,000," katanya dalam kenyataan di sini, Jumaat.

Katanya mangsa kemudian menyedari dirinya dianiaya dan diperas ugut apabila mendapati kesnya masih tidak selesai dan dibicarakan sebelum bertindak membuat laporan polis.

Raja Shahrom berkata berdasarkan laporan itu, polis menahan lelaki terbabit pada pukul 2.15 petang, Rabu lepas, di kantin mahkamah itu dan merampas sebuah beg duit, dua kad pengenalan milik orang kena tuduh dan sekeping kad ATM milik mangsa.

Beliau berkata siasatan mendapati suspek turut dikehendaki polis berhubung kes penipuan di daerah Melaka Tengah.

Katanya suspek kini ditahan reman selama empat hari bermula Rabu bagi membantu siasatan. -BERNAMA

Artikel Lain