suria

BN Kena Ambil Pengajaran Kekalahan PRK Sungai Limau - Jamil Khir

SINTOK: Barisan Nasional (BN) perlu mengambil pengajaran kekalahan calonnya Dr Ahmad Sohaimi Lazim dalam pilihan raya kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Limau 4 November lepas, kata Ketua Umno Bahagian Jerai Datuk Seri Jamil Khir Baharom.

Jamil Khir yang juga Menteri di Jabatan Perdana Menteri berkata BN Kedah akan membuat bedah-siasat keputusan PRK itu khususnya faktor ketidakseimbangan antara jumlah pengundi di peti undi Bukit Besar berbanding penduduk yang menetap di situ.

"Semua faktor ini akan dikaji kerana kita mahu berusaha memenangi hati rakyat," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Ihtifal Kelas al-Quran dan Fardu Ain (KAFA) peringkat kebangsaan di Universiti Utara Malaysia (UUM) di sini, Sabtu.

Dalam PRK itu, PAS mempertahankan kerusi DUN Sungai Limau apabila calonnya, Mohd Azam Abdul Samat, 37, mengalahkan Ahmad Sohaimi, 52, dengan majoriti 1,084 undi.

Ahmad Sohaimi pada Sabtu dilaporkan berkata beliau berharap pucuk pimpinan BN mengambil pengajaran kekalahan beliau khususnya perolehan majoriti 'luar biasa' calon PAS di peti undi Bukit Besar. - BERNAMA

Artikel Lain