suria

SPAD Masih Kaji Penetapan Kadar Baharu Tambang Bas Ekspres, Sekolah

GUA MUSANG: Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) masih dalam kajian bagi menetapkan kadar baharu tambang bas ekspres dan sekolah yang bakal diumumkan tidak lama lagi.

Pengerusinya, Tan Sri Syed Hamid Syed Jaafar Albar berkata pihaknya memerlukan sedikit masa lagi bagi menetapkan perkara berkenaan kerana tidak mahu keputusan yang dibuat kelak, mencetuskan rasa tidak puas hati kedua-dua pihak.

Katanya, bebanan tanggungan kos pihak pengusaha syarikat bas berikutan kenaikan bahan bakar perlu diambil kira sambil mengimbangkan dengan kemampuan penumpang untuk menikmati perkhidmatan yang selesa.

"Perkara itu sedang kita teliti dengan lebih mendalam supaya hasilnya nanti dapat memberi kepuasan kepada semua pihak," katanya kepada pemberita selepas Pelancaran Empat Bas Baru Konsortium E-Mutiara Berhad di Hentian Gua Musang, Tanah Puteh, di sini, Khamis.

Empat bas baharu Mutiara dua tingkat tercanggih dan pertama dilancarkan itu dilengkapi kamera bagi merakamkan kesalahan pemandu bas, sistem pengesanan global (GPS), Astro, Wi-fi, tali pinggang kaledar dan kemudahan plug mengecas telefon bimbit.

Hadir sama Pengerusi Eksekutif Konsortium E-Mutiara Berhad, Che Ibrahim Che Ismail, Ketua Kumpulan Operasi SPAD Abdul Halim Hussain dan Ketua Polis Daerah, Supt Saiful Bahri Abdullah.

Syed Hamid turut memuji langkah syarikat bas E-Mutiara yang menyediakan perkhidmatan bas ekspres lengkap dengan kemudahan yang diperlukan penumpang khususnya bagi perjalanan jauh.

Beliau mahu semua syarikat bas ekspres di negara ini agar mengambil langkah serupa, namun katanya aspek terpenting ialah menyediakan kemudahan mengikut peraturan dan syarat yang ditetapkan SPAD.

"Kita tahu dengan bebanan yang meningkat bagi setiap syarikat bas ekspres sekarang, disebabkan itu kita buat kajian mengenai kadar tambang baharu bas mengikut kesesuaian semasa tanpa membebankan penumpang," katanya.

Beliau turut menasihati penumpang agar tidak memilih bas yang tidak berdaftar dengan SPAD kerana mungkin berdepan risiko tidak dilindungi insurans jika terbabit kemalangan.

"Apa salahnya kita memilih bas yang ada kualiti perkhidmatan dan dilindungi insurans supaya perjalanan lebih selamat dan kita juga mengharapkan bas haram itu mohon permit bagi menjaga keselamatan penumpangnya," katanya. - BERNAMA

Artikel Lain