suria

Tindakan Jeremmy Bukti Hilang Kepercayaan Kepimpinan PKR - Musa Aman

KOTA KINABALU: Tindakan Anggota Dewan Undangan Negeri (Adun) Kadamaian Jeremmy Malajad keluar Parti Keadilan Rakyat (PKR) berkuat kuasa pada Isnin menunjukkan kalangan pemimpin parti itu juga sudah hilang kepercayaan kepada kepimpinan parti.

Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Musa Aman percaya ada lagi anggota dan pemimpin PKR akan bertindak sedemikian kerana mereka didakwa semakin tidak meyakini parti itu dalam membela nasib rakyat khususnya di Sabah.

"Adun PKR Kadamaian keluar parti ini dan ada akan keluar atas kesedaran mereka boleh menolong dan membantu rakyat apabila mereka bekerjasama dengan parti dan kerajaan Barisan Nasional (BN)," katanya kepada pemberita selepas mengiringi Yang Dipertua Negeri Tun Juhar Mahiruddin merasmikan sambutan Maal Hijrah peringkat negeri di Dewan Sa'adah, Wisma Muis, di sini, Selasa.

Musa yang juga pengerusi BN negeri mengulas tindakan Jeremmy yang juga Ketua Penerangan PKR Sabah mengumumkan keluar parti berkuat kuasa semalam dan menjadi wakil rakyat Bebas yang menyokong BN.

"Tindakan itu jelas menunjukkan mereka sudah hilang kepercayaan kepada kepimpinan dan parti PKR. Ini jelas mereka yakin hanya parti dan kerajaan BN yang boleh membela nasib rakyat termasuk di kawasan mereka sendiri," katanya.

Jeremmy yang disertai kira-kira 50 bekas pemimpin PKR Kadamaian pada Isnin dipetik berkata, keputusan beliau keluar daripada PKR adalah bagi memenuhi harapan rakyat di kawasannya yang mahukan pembangunan.

Katanya, kejayaan BN menangani pelbagai isu yang dibangkitkan di negeri itu semasa pilihan raya umum ke-13 Mei lepas membuatkan beliau meneliti semula kedudukannya sebagai wakil rakyat PKR.

Dalam pilihan raya umum ke-13 lepas, Jeremmy memperoleh 5,877 undi untuk mengalahkan penyandang Timbon@Herbert Langadan daripada BN yang mendapat 4,988 undi dalam pertandingan empat penjuru.

Difahamkan, seorang lagi Adun pembangkang dijangka mengadakan sidang akhbar minggu ini berhubung hala tujunya dalam parti termasuk kedudukan sebagai anggota PKR.

Sebelum ini, Adun Luyang Dr Hiew King Cheu bertindak meninggalkan DAP pada 27 September lepas dan menjadi wakil rakyat Bebas. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain