suria

Kenyataan Karpal Tidak Berasas - Tuan Ibrahim

PETALING JAYA: Ketua Penerangan PAS, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man menyifatkan kenyataan Pengerusi DAP Karpal Singh yang mencadangkan parti politik berasaskan kaum dan agama dibatalkan pendaftaran sebagai tidak berasas, serius dan membahayakan.

"PAS amat kesal dengan kenyataan yang tidak berasas ini, yang memperlihatkan betapa Karpal tidak memahami perjuangan PAS.

"Apakah bahaya perjuangan PAS bagi masyakarat majmuk di Malaysia?

"Nilailah sendiri pada PAS yang memerintah Kelantan lebih 23 tahun, Terengganu pada tahun 1999 dan Kedah pada 2008 dari segi perpaduan kaum dan menjaga hak Islam dan bukan Islam. Apakah ada golongan bukan Islam yang disisihkan?," soal Tuan Ibrahim.

Beliau berkata, kenyataan tersebut tidak sepatutnya keluar dari mulut pemimpin Pakatan Rakyat dalam suasana rakyat mulai yakin dengan kepimpinan Pakatan Rakyat.

"Karpal sepatutnya lebih bijak sebelum mengeluarkan kenyataan yang boleh menjejaskan hubungan baik dalam Pakatan Rakyat serta sokongan rakyat selama ini," katanya.

Menurut beliau, kenyataan sebegini juga merugikan DAP secara amnya.

Sehubungan itu, Tuan Ibrahim berkata, PAS menyerahkan kepada kepimpinan DAP untuk mengambil tindakan terhadap Karpal berhubung kenyataan tersebut.

"Di atas nama parti, PAS membantah keras kenyataan beliau (Karpal)," katanya.

Karpal pada Selasa mencadangkan parti politik atau persatuan yang berasaskan kaum dan agama dibatalkan pendaftaran atau diubah suai agar boleh disertai oleh semua rakyat tanpa mengira batasan kaum dan agama.

Beliau berkata cara tersebut merupakan jawapan kepada konsep perpaduan yang menjadi amalan selama ini.

"Masanya sudah tiba bagi semua parti berasaskan kaum dibatalkan pendaftarannya termasuk, malang sekali, PAS, kita perlu bersikap praktikal jika kita mahukan sebuah negara yang bersatu-padu," kata Karpal.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain