suria

Tidak Perlu Wujud Jawatankuasa Khas Kendali Kes Media Sosial - Jailani

KUALA LUMPUR: Tiada keperluan untuk Kementerian Komunikasi dan Multimedia mewujudkan satu badan atau jawatankuasa khas untuk mengendalikan kes-kes berkaitan media sosial.

Timbalan Menterinya, Datuk Jailani Johari berkata ini adalah kerana kes berkaitan media sosial tidak banyak dilaporkan dan ia lebih menjurus kepada aspek teknikal dan masih boleh dikendalikan oleh pihak kementerian.

"Peranan kementerian adalah untuk membantu dari segi siasatan dan selepas siasatan dibuat, kita akan maklumkan kepada pihak pendakwaan.

"Bergantung kepada makluman dan hasil siasatan sama ada pendakwaan perlu diteruskan atau dilakukan oleh pihak pendakwa raya. Setakat ini, tidak perlu mengadakan badan khusus hanya untuk mengkaji isu berkaitan media sosial," katanya ketika menjawab soalan tambahan Datuk Abdul Rahman Mohamad (BN-Lipis) di Dewan Rakyat pada Rabu.

Abdul Rahman ingin tahu sama ada kementerian perlu menubuhkan satu jawatankuasa atau badan khas untuk memberi tumpuan kepada isu berkaitan media sosial.

Sementara itu, Jailani berkata bagi tempoh 1 Januari hingga 30 September tahun ini, kementerian melalui Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) telah menerima sebanyak 8,101 aduan dengan 63 peratus daripadanya adalah mengenai prestasi pemberi perkhidmatan seperti perkhidmatan kurang memuaskan, sambungan jalur lebar yang perlahan dan liputan perkhidmatan 3G yang masih belum meluas.

Sebanyak, 37 peratus lagi adalah aduan berkaitan kandungan melalui media baharu, sistem pesanan ringkas (SMS), televisyen dan radio termasuk isu mengenai struktur telekomunikasi dan radiasi, jenayah siber dan aduan di luar bidang kuasa SKMM, katanya.

Menurut beliau, sepanjang tempoh 2008 hingga 2013, SKMM telah menyekat 6,640 laman web yang melanggar Akta Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia 1998 serta undang-undang bertulis negara lain melibatkan kesalahan seperti laman web bank palsu, perlanggaran hak cipta, kandungan lucah dan lain-lain.

Katanya, sebanyak 29 kes sedang dalam siasatan SKMM bagi kesalahan di bawah Seksyen 233 Akta itu termasuk kes media sosial dan blog yang digunakan untuk menghina Yang di-Pertuan Agong, Sultan dan institusi raja.

Dalam pada itu, beliau berkata kementerian melalui SKMM sentiasa melakukan pemantauan terhadap kandungan internet secara rambang dan pemantauan berdasarkan aduan.

Katanya, menyedari bahawa kandungan laman web dan blog tidak dapat dikawal sepenuhnya, namun pihak suruhanjaya mengambil tindakan proaktif untuk mendidik pengguna melalui penggunaan internet secara positif serta mengamalkan pengawalseliaan kendiri.

Artikel Lain