suria

Kerajaan Peruntuk RM264.2 Bilion Untuk Bajet 2014

KUALA LUMPUR: Kerajaan akan memperuntukkan RM264.2 bilion dalam Bajet 2014 bagi melaksanakan langkah-langkah, program dan projek untuk kesejahteraan rakyat dan pembangunan negara, kata Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.

Daripada jumlah itu, RM217.7 bilion diperuntukkan untuk perbelanjaan operasi, manakala RM46.5 bilion untuk perbelanjaan pembangunan.

"Di bawah perbelanjaan operasi, kerajaan akan memperuntukkan RM63.6 bilion untuk emolumen dan RM36.6 bilion untuk perkhidmatan dan bekalan.

"Sejumlah RM114.5 bilion diperuntukkan untuk pemberian dan kenaan bayaran tetap, manakala RM1.4 bilion untuk pembelian aset. Baki RM1.5 bilion lagi diperuntukkan untuk perbelanjaan lain," katanya semasa membentangkan Bajet 2014 di Parlimen pada Jumaat.

Najib yang juga Menteri Kewangan berkata daripada perbelanjaan pembangunan sebanyak RM46.5 bilion, sejumlah RM29 bilion akan disediakan untuk sektor ekonomi.

Kerajaan juga akan memperuntukkan RM10.5 bilion untuk sektor sosial bagi termasuk pendidikan dan latihan, kesihatan, kebajikan, perumahan serta pembangunan masyarakat.

Selain itu Najib berkata RM3.9 bilion diperuntukkan untuk sektor keselamatan manakala bakinya sebanyak RM1.1 bilion disediakan untuk pentadbiran awam dan RM2 bilion untuk simpanan luar jangka.

Mengenai kutipan hasil, Najib berkata Kerajaan Persekutuan mengunjurkan kutipan hasil berjumlah RM224.1 bilion tahun depan, tambahan sebanyak RM4 bilion berbanding 2013.

"Dengan mengambil kira anggaran hasil dan perbelanjaan, defisit fiskal kerajaan persekutuan dijangka terus berkurangan daripada empat peratus keluaran negara kasar pada 2013 kepada 3.5 peratus pada 2014.

"Ini jelas menunjukkan kerajaan komited dalam usaha konsolidasi fiskal bagi memperkukuh kedudukan kewangan negara," kata Perdana Menteri. -BERNAMA

Artikel Berikut

Artikel Lain