suria

Pemuda PBS Ikrar Berubah

KOTA KINABALU: Pemuda Parti Bersatu Sabah (PBS) berikrar akan melaksanakan reformasi bagi memperkukuh sayap itu dalam usahanya bangkit semula bagi menghadapi pilihan raya umum (PRU) ke-14.

Ketuanya Datuk Jahid Rahim berkata sayap itu menyedari bisikan di akar umbi bahawa mereka ibarat harimau tidak bergigi, susulan prestasi kurang memberangsangkan pada PRU13.

"Sehubungan itu satu unit khas perlu ditubuhkan bagi menguar-uar hala tuju parti sekali gus mendapatkan maklum balas masyarakat mengenai kelemahan parti," katanya ketika menyampaikan ucapan dasar pergerakan berkenaan dalam Perhimpunan Agung Tahunan PBS ke-28, di sini, Isnin.

Katanya Pemuda PBS juga dalam proses menubuhkan sebuah syarikat bagi mengumpul dana untuk membiayai aktiviti reformasi sayap itu.

Cadangan mengenainya sudah dipanjangkan kepada Timbalan Presiden PBS Datuk Seri Dr Maximus Ongkili, katanya berharap reformasi Pemuda PBS akan menarik belia menyertai parti itu.

Jahid berkata reformasi tersebut harus diiring dengan kesinambungan kepimpinan yang berani, memahami dan memiliki pengalaman serta setia pada parti.

"Bagi memenuhi aspirasi rakyat di Sabah, kita juga memerlukan gandingan kepimpinan yang matang, yang telah diuji melalui pelbagai rintangan, dugaan cabaran dan kejatuhan," katanya. BERNAMA

Artikel Lain