suria

Tiga Bahagian Umno Negeri Sembilan Diterajui Ketua Baharu

SEREMBAN: Tiga daripada lapan bahagian Umno di negeri ini diterajui kepimpinan baharu hasil pemilihan parti, Sabtu.

Keputusan pemilihan jawatan Ketua Umno Bahagian Seremban menjadi topik perbualan hangat di negeri ini apabila Datuk Ishak Ismail yang menyandang jawatan itu selama 24 tahun gagal mempertahan kedudukannya apabila tewas kepada Anggota Dewan Undangan Negeri (Adun) Ampangan Abu Ubaidah Redza.

Ishak yang juga Adun Lenggeng mendapat 195 undi, seorang lagi pencabar, Setiausaha Kerja Badan Perhubungan Umno negeri, Datuk Md Yusop Harmain Shah mendapat 15 undi gagal menyaingi Abu Ubaidah yang mendapat 243 undi.

Di Jempol pula, menyaksikan seorang lagi 'orang lama' Umno iaitu Datuk Lilah Yasin kecundang kepada Datuk Mohd Salim Sharif yang sebelum ini merupakan timbalannya dalam saingan satu lawan satu bagi jawatan Ketua Umno Bahagian itu.

Lilah yang juga Adun Palong mendapat 192 undi sementara Mohd Salim mendapat 308 undi.

Umno Bahagian Jelebu turut menerima kepimpinan baharu setelah Timbalan Ketuanya sebelum ini yang juga Adun Pertang Datuk Jalaludin Alias menewaskan pencabarnya Zainudin Ismail yang juga Anggota Parlimen Jelebu.

Dalam perebutan jawatan yang ditinggalkan bekas Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan Tan Sri Dr Rais Yatim itu, Jalaludin mendapat 243 undi, sementara Zainuddin memperoleh 162 undi.

Dalam pada itu, lima lagi bahagian menyaksikan penyandangnya mempertahan kedudukan termasuk Pengerusi Badan Perhubungan Umno negeri yang juga Menteri Besar Datuk Seri Mohamad Hasan.

Mohamad mendapat 679 undi daripada 799 perwakilan yang hadir dalam pemilihan semalam, sementara pencabarnya yang juga bekas Adun Chembong Datuk Rais Zainudin mendapat 108 undi.

Di Telok Kemang, calon Naib Presiden Umno yang tewas Tan Sri Mohd Isa Samad juga tidak mendapat tentangan sengit daripada dua pencabarnya bagi mempertahan jawatan Ketua Umno Bahagian itu setelah mendapat 324 undi.

Bekas Menteri Kerja Raya Datuk Seri Shaziman Abu Mansor pula mempertahan kedudukannya sebagai Ketua Umno Bahagian Tampin selepas mendapat 333 undi menewaskan bekas Adun Gemencheh Datuk Mohd Kamil Abd Aziz yang mendapat 192 undi.

Ketua Umno Bahagian Kuala Pilah Datuk Ismail Lasim dan Ketua Umno Bahagian Rasah Datuk Hasim Rusdi turut mengekalkan kedudukan masing-masing dalam pemilihan pada Sabtu. - BERNAMA

Artikel Lain