suria

Kemenangan Naib Presiden Umno Pastikan BN Terus Kukuh - Pemimpin BN

KUALA LUMPUR: Pemimpin parti komponen Barisan Nasional (BN) menyifatkan pemilihan semula ketiga-tiga Naib Presiden Umno dapat meneruskan pengukuhan dan kestabilan dalam parti itu dan BN.

Pemangku Presiden Gerakan Datuk Chang Ko Youn berkata perwakilan Umno memilih pasukan naib presiden yang mantap kerana ketiga-tiga pemimpin itu mempunyai pengalaman luas dalam memastikan kestabilan Umno dan BN terus unggul.

"Ketiga-tiga mereka mempunyai kualiti dan keupayaan masing-masing untuk menjadi gandingan yang kuat dan mantap bagi penerusan kepimpinan masa depan negara," katanya kepada Bernama serta mengucapkan tahniah terhadap kemenangan itu.

Pada pemilihan parti yang berlangsung semalam, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi memperoleh 188 undi, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal (177 undi) dan Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein (101 undi) untuk mempertahankan jawatan naib presiden.

Seramai 146,500 perwakilan dari sejumlah 191 bahagian Umno mengundi mengikut sistem 'electoral college' bagi memilih tiga naib presiden baharu.

Setiap seorang daripada tiga calon yang memperoleh bilangan undi paling banyak daripada perwakilan bahagian dikira meraih satu undi dari bahagian berkenaan.

Presiden Parti Progresif Penduduk (PPP) Datuk M. Kayveas pula berkata pemilihan ketiga-tiga naib presiden itu menunjukkan perwakilan Umno mahu mereka kekal sebagai tonggak BN, agar menjadi teladan parti-parti komponen BN untuk terus komited dan menjayakan janji-janji BN kepada rakyat.

Timbalan Presiden MCA Datuk Seri Liow Tiong Lai yakin pemilihan semula ketiga-tiga naib presiden Umno itu dapat memastikan BN terus kukuh dan kuat untuk membawa pembaharuan dan perubahan dalam hidup rakyat.

Sambil mengucapkan tahniah kepada Ahmad Zahid, Mohd Shafie dan Hishammuddin, Liow menyifatkan kemenangan itu akan memberikan hala tuju yang lebih baik kepada agenda transformasi negara.

"Teruskan perjuangan untuk parti kepada semua yang menang," katanya kepada pemberita ketika diminta mengulas kemenangan tiga naib presiden Umno selepas mesyuarat agung luar biasa (EGM) parti MCA di Wisma MCA di sini Ahad.

Timbalan Presiden MIC Datuk Seri Dr S. Subramaniam berkata kejayaan Ahmad Zahid, Mohd Shafie dan Hishammuddin mempertahankan jawatan mereka dalam pemilihan semalam dengan sokongan padu dilihat mampu menyatukan kembali sokongan di akar umbi.

"Saya berharap kita dapat bekerjasama secara erat dalam menjayakan agenda Barisan Nasional," katanya. - BERNAMA

Artikel Lain