suria

Hanya Satu Bahagian di Melaka Terima Kepimpinan Baharu

MELAKA: Hanya satu daripada enam bahagian Umno di Melaka memperlihatkan kepimpinan baharu pada pemilihan Umno ini.

Setiausaha Kerja Umno Datuk Ab Rauf Yusoh dipilih sebagai Ketua Umno Bahagian Masjid Tanah dalam pemilihan peringkat bahagian paling sengit di negeri ini menggantikan penyandang yang juga bekas Timbalan Menteri Dalam Negeri Datuk Abu Seman Yusop yang tidak mempertahankan jawatannya.

Ab Rauf berjaya memperoleh 287 undi menewaskan Anggota Dewan Undangan Negeri Kuala Linggi Datuk Ismail Othman (169 undi) dan bekas Ketua Menteri Melaka Tan Sri Rahim Thamby Chik (126 undi).

Di bahagian Jasin, Anggota Parlimen Jasin Datuk Ahmad Hamzah berjaya mengekalkan jawatan ketua bahagian setelah memperoleh 439 undi mengatasi pencabarnya Datuk Nazari Adzim (177) dan Abd Alim Alimon (53 undi).

Bahagian Alor Gajah juga menyaksikan penyandang Datuk Abd Ghafar Atan memperoleh 362 undi menewaskan Anggota Dewan Undangan Negeri Durian Tunggal yang juga timbalan ketua bahagian Ab Wahab Ab Latip (227 undi).

Tiga Umno Bahagian di negeri itu menyaksikan ketua bahagiannya menang tanpa bertanding termasuk Pengerusi Badan Perhubungan Umno dan Ketua Menteri Melaka Datuk Seri Idris Haron di Tangga Batu; bekas Ketua Menteri Datuk Seri Mohd Ali Rustam (Bukit Katil) dan Exco Komunikasi, Perpaduan, Hal Ehwal Pengguna dan Koperasi Melaka Datuk Latiff Tamby Chik (Kota Melaka). -BERNAMA

Artikel Lain