suria

Liow Tidak Sesuai Jadi Presiden Parti - Chua Soi Lek

KUALA LUMPUR: Presiden, MCA Datuk Seri Dr Chua Soi Lek menasihati Timbalannya Datuk Seri Liow Tiong Lai untuk tidak bertanding jawatan presiden dalam pemilihan parti bagi memberi peluang kepada generasi baharu untuk menerajui kepemimpinan parti. Dr Chua yang sebelum ini mengumumkan keputusannya untuk tidak bertanding menyifatkan Liow sebagai seorang yang lemah dan tidak sesuai untuk memimpin parti.

"Beliau (Liow) perlu bersama-sama dengan saya untuk tidak bertanding kerana beliau tidak ada pendirian dalam membuat keputusan. Beliau hanya tahu mengelak dan mudah dipengaruhi oleh kata-kata daripada orang luar parti. "Saya tahu, sebab saya sudah bersama dengannya selama empat tahun dan amat memahami keperibadiannya," katanya pada sidang media di Wisma MCA di sini hari ini. Dr Chua berkata Liow sepatutnya memberi laluan kepada generasi muda untuk memimpin parti jika beliau sayangkan parti.

"Kami semua sayangkan parti lebih daripada jawatan parti. Jika beliau (Liow) juga sayangkan parti dan mahukan masa depan parti yang lebih cerah, beliau harus berbuat demikian (tidak bertanding jawatan presiden).

"Lagipun saya yakin orang-orang muda tidak akan membawa budaya berpuak-puak dalam parti sehinggakan menyebabkan konflik dalaman yang berpanjangan," katanya.

Katanya pucuk pimpinan MCA seharusnya 'dimudakan' supaya dapat berinteraksi dengan pengundi muda yang dijangka akan semakin bertambah sebanyak tiga juta orang menjelang 2014.

"Oleh itu, perlunya kami memberi laluan kepada orang-orang muda untuk menerajui parti untuk mendapat sokongan lebih daripada pengundi muda yang semakin ramai," katanya.

Beliau juga turut menyebut beberapa pemimpin muda yang berpotensi untuk memudakan kepimpinan parti antaranya Naib Presiden Gan Ping Sieu, Ketua Pemuda Datuk Wee Ka Siong dan Anggota Jawatankuasa Pusat Datuk Chua Tee Yong.

Sementara itu, Dr Chua turut menggesa semua anggota untuk menghadiri Mesyuarat Agung Luar Biasa (EGM) yang akan diadakan pada 20 Oktober ini bagi mengubah resolusi parti sebelum ini yang tidak menerima jawatan dalam kerajaan.

Katanya, resolusi ini perlu diubah dengan segera memandangkan jawatan di peringkat negeri seperti Ketua Kampung, Anggota Lembaga Hospital serta Anggota Majlis Daerah masih kosong.

"Hal ini kerana selama ini anggota kami yang memegang jawatan ini banyak membantu masyarakat Cina setempat menyelesaikan masalah mereka sama ada dari segi bantuan pinjaman buku teks anak-anak sehingga ke urusan pembelian tanah yang perlukan tandatangan daripada mereka. "Oleh itu jawatan-jawatan di peringkat itu perlu diisikan segera dalam satu tempoh tertentu dan jika tidak, jawatan-jawatan itu akan diisikan oleh orang lain maka anggota kami tidak ada peluang untuk menjawatnya seterusnya tidak dapat membantu menyelesaikan masalah penduduk kaum Cina," katanya.

MCA akan mengadakan EGM bagi memutuskan sama ada anggota parti dibenarkan memegang sebarang jawatan dalam kerajaan dan juga untuk menegur sikap Liow.

Manakala pemilihan Jawatankuasa Pusat serta Mesyuarat Agung Tahunan (AGM) akan diadakan pada 21 dan 22 Disember ini. -BERNAMA

Artikel Lain