suria

Khairy Serah Kebijaksanaan Perwakilan Pilih Pemimpin Minggu Depan

IPOH: Ketua Pemuda Umno Khairy Jamaluddin menyerahkan kepada kebijaksanaan perwakilan untuk memilih barisan kepimpinan sayap itu minggu depan.

Beliau yang akan mempertahan jawatannya, berkata anggota Umno perlu memilih berdasarkan kewibawaan dan kepimpinan di samping mereka yang mempunyai pengalaman.

"Kita serah kepada kebijaksanaan perwakilan untuk buat keputusan," katanya kepada pemberita selepas menghadiri Himpunan Generasi Muda Perak bersama Menteri di sini Ahad.

Hadir sama ialah Menteri Pertahanan Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein, Menteri Besar Perak Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir dan Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan Datuk Abdul Rahman Dahlan.

Khairy yang juga Menteri Belia dan Sukan berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai peluangnya untuk mengekalkan jawatan Ketua Pemuda Umno pada pemilihan Umno ini.

"Semua orang boleh menjanjikan sesuatu tetapi nak melaksanakan itu amat susah sekali dan kita harus bersandarkan kepada 'track record' atau sejarah pencapaian seseorang calon," katanya.

Beliau berkata semua anggota mahu melihat perubahan dalam Umno namun ia perlu dilakukan dengan keyakinan untuk memilih pemimpin yang mampu melaksanakan perubahan itu.

Selain Khairy, empat lagi anggota Pemuda iaitu penolong setiausaha Pemuda cawangan Pusat Bandar Taman Cempaka Syed Rosli Syed Harman, ketua pemuda Umno cawangan Bendang Baru, Langkawi Akhramsyah Muammar Ubaidah Sanusi, ketua pemuda Umno cawangan Bukit Setiawangsa Irwan Ambak Khalid Izhar dan bekas ketua pemuda Umno Bahagian Merbok Abdul Karim Ali turut menawar diri untuk bertanding jawatan itu.

Pemilihan bagi tiga sayap pergerakan Umno - Wanita, Pemuda dan Puteri - akan berlangsung pada 12 Oktober ini untuk semua peringkat jawatankuasa bahagian dan exco pergerakan masing-masing. -BERNAMA

Artikel Lain