suria

Sekolah Berteras Islam Berperanan Bentuk Sahsiah Peribadi Mulia Pelajar - Dr Mahathir

KUALA LUMPUR: Sekolah berteraskan Islam di negara ini bukan sahaja berperanan menyampaikan ilmu malah berperanan membentuk sahsiah peribadi mulia seseorang pelajar, kata bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad.

Beliau berkata bagi merealisasi hasrat itu, guru perlu menjadikan Al-Quran sebagai asas panduan dalam penyampaian ilmu kepada pelajar dari peringkat awal lagi.

"Kita perlu kembali kepada ajaran Al-Quran untuk mendidik generasi muda menjadi insan berjaya dan berguna. "Jika kita belakangi Al-Quran dan tidak memahami isi kandungannya akan menyebabkan kita terpesong dari ajaran sebenar, malah bersengketa sesama sendiri," katanya dalam ucapan perasmian Makan Malam Ulang Tahun ke-15 Sekolah Islam Antarabangsa Malaysia di sini malam Sabtu.

Turut hadir Presiden Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) Tan Sri Dr Rais Yatim dan Rektor UIAM Datuk Zaleha Kamaruddin.

Dr Mahathir berkata ajaran yang terkandung dalam Al-Quran perlu difahami serta dijadikan amalan setiap umat dan bukan sekadar membaca dengan pelbagai lenggok irama sahaja.

Beliau turut menggesa generasi muda agar menjadi suatu produk yang mampu memberi sumbangan besar kepada ummah, agama dan negara.

"Adalah menjadi tanggungjawab guru dan sekolah itu sendiri untuk mendidik pelajar menjadi seorang Muslim yang baik akhlak dan pekerti," katanya. -BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain