suria

PWTC Dipenuhi Anggota Parti Hasrat Tanding Jawatan Pusat

Setiausaha Politik Perdana Menteri Datuk Muhammad Khairun Aseh (kanan) mewakili Presiden bersama Setiausaha Politik Timbalan Perdana Menteri, Datuk Mohd Nardin Awang mewakili Timbalan Presiden mengangkat tangan setelah menyerahkan borang tersebut pada proses penamaan calon pemilihan Umno 2013 di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), Kuala Lumpur, Sabtu. -fotoBERNAMA
Setiausaha Politik Perdana Menteri Datuk Muhammad Khairun Aseh (kanan) mewakili Presiden bersama Setiausaha Politik Timbalan Perdana Menteri, Datuk Mohd Nardin Awang mewakili Timbalan Presiden mengangkat tangan setelah menyerahkan borang tersebut pada proses penamaan calon pemilihan Umno 2013 di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), Kuala Lumpur, Sabtu. -fotoBERNAMA
Setiausaha Politik Perdana Menteri Datuk Muhammad Khairun Aseh (kanan) mewakili Presiden bersama Setiausaha Politik Timbalan Perdana Menteri, Datuk Mohd Nardin Awang mewakili Timbalan Presiden mengangkat tangan setelah menyerahkan borang tersebut pada proses penamaan calon pemilihan Umno 2013 di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), Kuala Lumpur, Sabtu. -fotoBERNAMA

KUALA LUMPUR: Datuk Seri Najib Tun Razak dan Tan Sri Muhyiddin Yassin merupakan antara pemimpin yang awal menyerahkan borang pencalonon mereka apabila proses penyerahan borang bagi pemilihan Umno pusat dibuka Sabtu.

Mereka menyerahkan borang pencalonan untuk mempertahan jawatan Presiden dan Timbalan Presiden masing-masing melalui wakil mereka sebaik sahaja pusat penyerahan borang pencalonan di ibu pejabat Umno di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini dibuka pukul 8 pagi.

Borang pencalonan Najib diserahkan Setiausaha Politik beliau Datuk Khairun Aseh, manakala Muhyiddin diwakili Setiausaha Politiknya Datuk Mohd Nardin Awang yang menyerahkan borang pencalonan di Bilik Labuan, Tingkat 5, PWTC.

Najib dan Muhyiddin hadir menyaksikan perarakan rapat raksasa sempena sambutan Hari Angkatan Tentera Malaysia ke-80 tahun di Dataran Merdeka, di sini, pagi Sabtu.

Ada juga yang hadir seawal 7 pagi untuk mendapatkan nombor giliran awal bagi menyerahkan borang pencalonan sama ada secara individu mahupun oleh wakil calon yang dilantik dan setakat pukul 11 pagi ini proses penyerahan borang itu berjalan lancar.

Penyerahan borang pencalonan di PWTC adalah untuk mereka yang ingin bertanding bagi semua jawatan di peringkat Majlis Tertinggi (MT), Pergerakan Wanita, Pemuda dan Puteri pusat.

"Ini menunjukkan kepimpinan mereka seperti kata pepatah 'bagai aur dengan tebing'. Ini adalah gandingan ideal," kata Khairun.

Tiga Naib Presiden Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan Datuk Seri Mohd Shafie Apdal turut menghantar wakil bagi menyerahkan borang pencalonan untuk mempertahan jawatan masing-masing.

Turut kelihatan Pengerusi Felda Tan Sri Isa Samad yang tiba di PWTC kira-kira 9.55 pagi bagi menyerahkan borang pencalonan untuk bertanding jawatan Naib Presiden.

Ketua Wanita Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil dilihat hadir sendiri 8.15 pagi bagi menghantar borang pencalonan untuk mempertahan jawatannya.

Ketua Pergerakan Pemuda Khairy Jamaluddin juga telah menyerahkan borang pencalonan bagi mempertahan jawatannya, melalui wakilnya Rizuan Ahamad.

Turut menghantar borang pencalonan Raihan Sulaiman Palestin untuk bertanding jawatan Ketua Wanita Umno pusat.

Setakat 9.30 pagi, sebanyak 33 borang pencalonan untuk jawatan exco wanita pusat dan 59 bagi jawatan exco Pemuda pusat diterima.

Muka baharu Ermiyanti Shamsuddin yang juga anggota Parlimen Masjid Tanah pula menyerahkan borang pencalonan bertanding Ketua Puteri Umno pusat.

Seorang lagi muka baharu, iaitu Ketua Puteri Umno Bahagian Johor Baharu yang menawarkan diri bertanding exco Puteri, Azura Mohd Afandi berkata keputusan bertanding adalah bagi membantu Puteri menjadi sebuah pergerakan yang subur dengan semangat untuk membawa suara wanita muda di negara ini.

"Saya akan pastikan Puteri ada semangat dan tekad, kerana kita tahu semangat tidak akan berterusan wujud jika ia tidak disemai dan dibaja," katanya yang menjadi individu pertama mendaftar sebagai calon Puteri hari ini.

Sementara itu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Shahidan Kassim, Timbalan Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman dan anggota Parlimen Kinabatangan Datuk Bung Moktar Radin juga antara yang awal menyerahkan borang pencalonan sama ada untuk bertanding atau mempertahan jawatan anggota MT.

Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek turut menghantar borang pencalonan bagi mempertahan jawatan anggota MT yang diserahkan Setiausaha Politik beliau, Mohd Ali Mansor pada 8.40 pagi.

Beberapa anggota MT lain yang turut menghantar borang mempertahan jawatan masing-masing pagi ini termasuk Datuk Dr Abdul Latif Ahmad, Dr Mohd Puad Zarkashi, Datuk Seri Mahdzir Khalid, manakala muka baharu Datuk Sohaimi Shahadan menyerahkan sendiri borang pencalonan untuk bertanding jawatan MT.

Beberapa kejutan turut disaksikan setakat pukul 10 pagi ini antaranya apabila Penolong Setiausaha Pergerakan Pemuda Bahagian Pandan Syed Rosli Syed Harman Jamalluail menyerahkan borang untuk bertanding jawatan Ketua Pemuda.

Sebelum ini, dua individu telah menyatakan hasrat untuk mencabar Khairy bagi jawatan itu iaitu anak bekas Setiausaha Agung Umno Tan Sri Sanusi Junid, Akhramsyah Muammar Ubaidah dan bekas Ketua Pemuda Umno Bahagian Merbok, Karim Ali.

Pengerusi Tetap Tan Sri Badruddin Amiruldin dan timbalannya Datuk Mohamad Aziz menghantar sendiri borang pencalonan secara serentak bagi mempertahan jawatan masing-masing.

Menurut Setiausaha Kerja Umno Datuk Mohd Rauf Yusoh sehingga pukul 10 pagi ini jumlah keseluruhan borang pencalonan yang diterima ialah 161 termasuk bagi jawatan MT (49), Wanita (37), Pemuda (48) dan Puteri (27). BERNAMA

Artikel Lain