suria

Kerajaan Arab Saudi Sediakan Kemudahan Terkini Di Tiga Kawasan Masyair

MAKKAH: Mulai tahun ini, bakal jemaah haji dari seluruh dunia akan menggunakan tiga kemudahan infrastruktur terkini di tiga kawasan Masyair untuk melakukan ibadah haji.

Ketiga-tiga kemudahan yang dibina oleh kerajaan Arab Saudi itu ialah lantai bergerak dalam terowong al-Muassim, laluan berbumbung yang lengkap berkipas menuju ke kompleks melontar di Mina dan tandas dua tingkat di kawasan-kawasan berkenaan.

Masyair ialah kawasan bermulanya kerja ibadah haji di luar Makkah iaitu berwukuf di Arafah, singgah atau bermalam di Muzdalifah dan melontar di Mina sebelum jemaah haji kembali ke Makkah untuk tawaf, saie dan tahlul.

Pengarah Operasi Masyair Tabung Haji (TH), Norber Mohd Kassim berkata, pembinaan lantai bergerak itu dapat membantu jemaah warga emas dan yang uzur melalui terowong sepanjang 3 kilometer untuk menuju ke tempat melontar.

"Kami berharap jemaah haji dapat melakukan persiapan mental dan fizikal ketika berada di Arafah sehingga habis melaksanakan rukun haji kerana perlu membiasakan diri untuk berjalan kaki dalam jarak yang jauh," katanya kepada pemberita selepas melawat Arafah, Muzdalifah dan Mina bersama Pengurus-pengurus dan Timbalan Pengurus maktab-maktab TH di sini Sabtu.

Beliau berkata, jemaah Malaysia akan bergerak menuju ke Arafah secara berperingkat mulai 13 Oktober iaitu bersamaan 8 Zulhijjah dan berwukuf pada 14 Oktober.

"Jemaah kemudian bergerak menuju ke Muzdalifah bermula selepas waktu Maghrib pada 14 Oktober untuk bermabit sebelum bergerak ke Mina bermula pada tengah malam bagi kerja-kerja melontar selama tiga malam," katanya.

Sebanyak 22,320 umat Islam dari Malaysia akan menunaikan fardu haji untuk musim ini dan jumlah itu adalah berkurangan sebanyak 20 peratus berbanding sebelumnya ekoran pengurangan kuota jemaah haji oleh kerajaan Arab Saudi. - BERNAMA

Artikel Lain