suria

Pemuafakatan Kerajaan Pusat Dan Negeri Contoh Terbaik Majukan Sarawak - PM

KUCHING: Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak yakin permuafakatan antara kerajaan pusat dan kerajaan negeri yang bekerjasama dalam satu ikatan politik melalui Barisan Nasional (BN) menjamin Sarawak akan tetap terus maju pada masa hadapan.

Dalam mengucapkan kesyukuran atas kejayaan sambutan Hari Malaysia ke-50 pada Isnin, beliau turut yakin pemerintahan BN di Sarawak di bawah kepimpinan Ketua Menteri Tan Sri Abdul Taib Mahmud akan lebih cemerlang dalam tempoh 50 tahun akan datang.

"Contoh permuafakatan ini menjanjikan Sarawak akan lebih maju 50 tahun akan datang. Sebab itulah, saya mewakili kerajaan pusat, akan terus membantu dan menyokong untuk mengubah negeri ini untuk lebih maju," katanya pada istiadat Perbarisan dan Rapat Raksasa sambutan perayaan Hari Malaysia di Padang Merdeka di sini, Isnin.

Keberangkatan Yang di-Pertuan Agong Tuanku Abdul Halim Mu'adzam Shah dan Raja Permaisuri Agong Tuanku Hajah Haminah turut menyerikan sambutan kali ini bertemakan 'Sarawak Harmoni Kemakmuran Dinikmati'.

Bagaimanapun Najib berkata sambutan sepanjang tahun peringkat Sarawak itu bukan diukur semata-mata dari segi kemeriahannya dengan bilangan rakyat yang terlibat, kehadiran penonton atau letupan meriam.

Najib berkata ia mencerminkan hati kecil setiap rakyat Sarawak melalui laporan Suruhanjaya Cobbold 50 tahun lepas ketika sebahagian besar rakyat inginkan kemerdekaan dalam Malaysia menerusi pembentukan kesatuan yang lebih besar, melibatkan Sarawak, Sabah dan Semenanjung.

"Keputusan 50 tahun yang lalu (pada 16 Sept 1963) adalah amat tepat dan sebab itu hari ini kita menyaksikan sambutan yang sangat meriah dan bermakna dengan penuh kesyukuran." katanya.

Pada 4 Januari 1962 koloni British di Sarawak menerbitkan kertas putih bertajuk 'Malaysia and Sarawak' menyokong penyertaan Sarawak ke dalam Malaysia dan penubuhan sebuah suruhanjaya penyiasat.

Di samping berjaya dengan permuafakatan sedia ada antara kerajaan pusat dan kerajaan negeri, beliau turut berbangga melihat rakyat Sarawak dan Sabah, yang boleh menjadi contoh perpaduan kaum yang begitu baik.

Katanya 27 kaum yang terdapat di Sarawak disifatkan unik tetapi dalam kehidupan seharian, mereka tidak ada perpisahan antara satu sama lain. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

AES Diserah Kepada PDRM

Artikel Lain