suria

Umno Patut Contohi YES - PM

KUALA LUMPUR: Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak pada Sabtu merasmikan penubuhan Yayasan Ehsan Seputeh (YES) yang mensasarkan usaha mentransformasi komuniti setempat dalam melahirkan masyarakat yang lebih berwibawa berilmu dan kamil.

Semasa berucap di hadapan kira-kira 5,000 penduduk setempat yang hadir pada majlis itu di sini malam ini, beliau berkata usaha yang dilakukan YES merupakan contoh baik dalam usaha mendekati rakyat.

Beliau berkata usaha seumpama wajar dicontohi Umno sebagai sebuah parti politik untuk mendapatkan sokongan lebih padu dari rakyat.

"Ada pelbagai cara yang boleh dilakukan antaranya dengan meluaskan aktiviti berbentuk sosial dan kebajikan yang boleh mengubah untung nasib rakyat.

"Sebab bila Umno dan Barisan Nasional (BN) menjadi sandaran bagi rakyat, semasa mereka sihat, jika sakit, tolong, kalau daif, bagi sumbangan...bila Umno/BN tampil ke depan, kita akan mendapat sokongan yang lebih kuat dari rakyat, " kata Najib, yang juga Pengerusi BN dan Presiden Umno.

Antara yang turut hadir Menteri Wilayah Persekutuan Datuk Seri Tengku Adnan Mansor, Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah Datuk Seri Shafie Apdal dan Menteri Pertahanan Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein.

Pengerusi YES Datuk Mustapa Kamal Mohd Yusoff berkata yayasan itu telah ditubuhkan 18 bulan lepas.

Objektif utamanya ialah untuk tampil sebagai sebuah organisasi yang proaktif dalam membantu dan memantapkan masyarakat berbilang kaum di Parlimen Seputeh dan Wilayah Persekutuan.

"Buat permulaan YES akan bekerjasama dengan Kumpulan KPJ Healthcare Berhad untuk menganjurkan program kesihatan seperti sesi ceramah kesihatan, panduan gaya hidup sihat dan memberikan motivasi agar orang ramai menitik beratkan aspek kesihatan dalam kehidupan harian," katanya.

Mustapa berkata antara program kemasyarakatan yang akan dilaksana termasuk mewujudkan pusat Hemodialisis dan Fisioterapi, menaik taraf sekolah tahfiz, menawarkan bantuan guaman, mewujudkan tabung pendidikan persekolahan dan pusat perlindungan gelandangan. BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain