suria

Kanak-Kanak Empat Tahun Maut Dalam Kebakaran

JOHOR BAHARU: Seorang kanak-kanak berusia empat tahun maut dalam kebakaran di sebuah rumah di Bandar Baru Kangkar Pulai, awal pagi Ahad.

Muhammad Iskandar Marakar ditemui dalam keadaan tidak sedarkan diri di dalam bilik air bersama-sama kakaknya Siti Aishah, 7, yang selamat dalam kejadian pukul 2 pagi itu.

Kanak-kanak itu disahkan meninggal dunia di klinik berhampiran, dipercayai akibat lemas terhidu asap.

Bapa mereka Marakar Pekar, 45, memberitahu pemberita dua beradik itu ditinggalkan bersendirian di rumah kerana dia dan isterinya Masirah Berutu, 34, keluar membeli barang keperluan perniagaan di Pasar Borong Pandan, di sini.

"Kedua-dua mereka sedang tidur di ruang tamu ketika kami keluar kira-kira pukul 12.30 tengah malam, namun kira-kira 1.45 pagi saya menerima panggilan daripada jiran memberitahu rumah kami terbakar.

"Apabila tiba di rumah, saya lihat polis dan bomba sudah tiba dan cuba untuk membuka pintu rumah tetapi saya terlebih dahulu membuka mangga pintu," katanya.

Menurut Marakar keadaan di dalam rumahnya ketika itu gelap dan diselubungi asap tebal namun dia berusaha mencari kedua-dua anaknya di ruang tamu.

"Saya menjerit memanggil mereka dan ketika itulah saya terdengar suara anak perempuan saya dari bilik tidur utama dan kemudian menemui mereka di dalam bilik air," katanya sambil menambah Muhammad Iskandar sudah tertiarap tidak sedarkan diri manakala Siti Aishah dalam keadaan lemah ketika itu.

Dia kemudian membawa kedua-dua anaknya ke klinik berhampiran sebelum doktor mengesahkan anak lelakinya sudah meninggal dunia.

Sementara itu, keadaan Siti Aishah yang kini dirawat di Hospital Kulai dilapor stabil.

Ketua Polis Daerah Nusajaya Supt Noor Hashim Mohamed ketika dihubungi mengesahkan kejadian. -BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain