suria

Dana Pendidikan Mara Bernilai RM1 Bilion Ditubuhkan

SHAH ALAM: Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak pada Sabtu mengumumkan penubuhan Dana Pendidikan MARA bernilai RM1 bilion dalam bentuk dana sepadan bagi membiayai keperluan program latihan, pendidikan, keusahawanan, penyelidikan dan pembangunan serta inovasi.

Najib berkata dana ini yang akan disalurkan secara berperingkat, berbentuk nisbah satu kepada satu antara MARA dan kerajaan.

Selain itu, Perdana Menteri berkata kerajaan akan memperbanyak program meningkatkan kemahiran untuk golongan remaja yang rendah pencapaian akademik dan tahap kemahiran, bagi menyediakan peluang kedua supaya mereka memperoleh lebih banyak ruang untuk mendapatkan pekerjaan.

"Inisiatif ini merupakan antara fokus dalam mengupayakan modal insan Bumiputera. Dalam aspek ini juga, program latihan semula akan dipergiat.

"Peruntukan tambahan akan diberikan kepada GiatMARA bagi memperoleh peralatan berteknologi terkini untuk mengendalikan program latihan," katanya pada Majlis Pemerkasaan Ekonomi Bumiputera di Dewan Agong Tuanku Canselor, Universiti Teknologi MARA (UiTM) pada Sabtu.

Selain itu, beliau berkata bilangan program latihan yang dikendalikan oleh Institut Kemahiran Belia Negara juga akan ditambah dengan mengamalkan pendekatan latihan dua syif.

"Menyedari bahawa modal insan merupakan aspek terpenting dalam membangunkan sesebuah masyarakat, kerajaan telah berjaya menempatkan secara signifikan pelajar Bumiputera di institusi pengajian tinggi awam dalam dan di luar negara.

"Oleh itu, fasa seterusnya ialah pemerkasaan modal insan Bumiputera yang menjurus kepada pemadanan kelayakan dan kemahiran tenaga kerja dengan keperluan pasaran," katanya.

Menyentuh mengenai golongan graduan Bumiputera menganggur pula, Najib berkata kerajaan akan menggiatkan lagi program latihan bagi mengatasi masalah kebolehpasaran, agar bersesuaian dengan keperluan industri.

"Untuk tujuan tersebut, program-program seperti Skim Latihan 1Malaysia, skim pengurusan kebolehperkerjaan dan Program Peneraju Skil akan diperluas untuk menambah bilangan penerima manfaat," katanya.

Perdana Menteri berkata bagi menambah bilangan Bumiputera berkelulusan tinggi, agensi berkaitan seperti Jabatan Perkhidmatan Awam dan MARA akan memperluas Program Pendidikan Lepasan Ijazah bagi memenuhi keperluan pasaran, terutama dalam bidang-bidang kritikal dan berteknologi tinggi.

Selain itu, Program Peneraju Profesional oleh Yayasan Peneraju Pendidikan Bumiputera serta program-program seumpamanya, akan diperluas bagi melahirkan lebih ramai golongan profesional Bumiputera.

Najib berkata ini akan membantu mereka memperoleh pengiktirafan seperti tenaga kerja profesional dan bertauliah, terutama dalam bidang-bidang kritikal seperti akauntan, doktor pakar, arkitek, jurutera dan ahli sains aktuari.

Pada masa yang sama, Perdana Menteri turut mengumumkan hasrat peningkatan bilangan kemasukan penuntut UiTM kepada 250,000 orang menjelang 2020 berbanding 180,000 sedia ada.

Beliau berkata penambahan ini termasuk penubuhan beberapa kampus baharu di seluruh negara.

Artikel Sebelum

Umno Patut Contohi YES - PM

Artikel Lain